Tahniah Ustaz Rosli Jabar, PAS Pahang

SETINGGI-tinggi tahniah buat PAS Pahang pimpinan pesuruhjayanya, YB Ustaz Rosli Jabar atas kejayaan menganjurkan Mukktamar Tahunan PAS ke-65 selama seminggu selepas seminggu Hari Raya Aidilfitri.

Advertisement

Pengalaman pertama Pahang menjadi tuan rumah, nampaknya tidak kurang kejayaannya dibandingkan dengan negeri-negeri maju PAS yang sudah beberapa kali menjadi tuan rumah seperti Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis.

Dengan keupayaannya itu menjadikan Pahang muncul sebagai negeri PAS yang membangun yang dipercayai sepuluh tahun akan datang boleh mencapai status negeri maju PAS selepas Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Berkat taawun-tahaluf siyasi berdua PAS dan Umno yang rancak menjalar sekarang beberapa negeri seperti Perak, Selangor dan Johor akan berada di belakang Pahang sebagi wilayah membangun manakala wilayah ketiga seperti Wilayah, Melaka, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak akan mara di belakang Perak dan Selangor.

Moga-moga 20 tahun dari sekarang tiada lagi negeri PAS yang mundur.

Pahang membuat persiapan bekerja penuh masa lebih dari tiga bulan. Muktamar itu tiga hari dari 21 hingga 23 Jun. Tetapi ia sudah berada dalam suasana muktamar sejak 15 Jun apabila Dewan Muslimat melangsungkan sidangnya di Gambang, lebih 20 kilometer dari Kuantan. Dari 18 dan 19 Jun Dewan Pemuda pula bersidang di situ. Diikuti Muktamar Dewan Ulamak pula pada 20 Jun di Wisma Belia di pinggir Indera Mahkota.

Pahang menawar diri sejak sebelum PRU14. Ia bertungkus lumus menyiapkan dewan di pinggir Temerloh. Dewan itu siap tetapi dengan kemajuan PAS yang ada, ia tidak dapat menampung keperluan muktamar.

Berikut pembentukan Kerajaan PAS Terengganu pasca PRU14, muktamar ke-64 dipindahkan ke Gong Badak, Terengganu.

Demi muktamar ke-65, Pahang diminta bersedia. Prasarana yang diperlukan oleh muktamar tidak tumbuh seperti cendawan selepas hujan. Dalam serba kekurangan itu bagaimana Pahang hendak menganjurkan muktamar?

Ditakdirkan Allah perbincangan berdua PAS dan Umno berjalan rancak, Umno Pahang mengizinkan kerajaan negerinya, satu dari dua kerajaan negeri BN yang selamat memberi semua kemudahan yang diperlukan oleh PAS. Stadium Tertutup Sukpa di Indera Mahkota yang boleh menampung perwakilan hampir seribu dan pemerhati beribu-ribu boleh dimanfaatkan percuma.

Kerajaan tempatan mengizinkan sekitar kota muktamar itu dihijau dengan bendera PAS. PAS diberi tempoh yang selesa membersih kehijauan itu. Menteri Besar Pahang yang menganjurkan makan malam kepada pemimpin dan ketua-ketua perwakilan ketika berucap menyebut jika boleh agak lebih indah jika jalan-jalan dalam masa muktamar itu dihiasi berselang-selang antara bendera PAS dan bendera Umno.

Mereka bekerja tiga bulan membuat persiapan. Beribu anggota Unit Amal, Briged Nisa dan petugas keselamatan didatangkan dari seluruh negara. Mereka bertugas penuh masa siang malam, hujan dan panas sebagaimana setianya pasukan keselamatan negara atas perintah komandernya. Sukarelawan beruniform PAS itu patuh kepada PAS sebagaimana patuhnya polis dan askar.

Mereka jaga dan iring pemimpin ke mana saja. Saya boleh ke bilik air sendiri. Mereka iring saya hingga ke pintu bilik air. Tunggu dan pastikan saya balik ke pentas muktamar dengan selamat.

Pesuruhjaya YB Rosli Jabar penuh masa berbulan-bulan menyelia dan memantau persiapan. Katanya, selain kemudahan dari kerajaan negeri, hampir sejuta mereka berbelanja.

Di mana PAS dapat duit? RM90 juta yang dikatakan dari 1MDB tiada dalam 41 senarai SPRM dapat duit itu. Tentu ia dari khairat penyokong PAS Pahang. Syabas! Syabas! Syabas! – HARAKAHDAILY 6/7/2019