Dr Zakir Naik perlihat toleransi dibawa Islam

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan mengundang pendakwah antarabangsa Dr Zakir Naik ke negeri ini bagi memperlihatkan toleransi yang dibawa Islam.

Advertisement

Anggota Exco Kerajaan Negeri, Dato’ Dr Mohammed Fadzli Hassan berkata, pendekatan dakwah yang dibawa pendakwah terkenal itu ada keistimewaan, keindahan dan kecantikan mengenai Islam.

Katanya, kerajaan negeri juga mahu menjelaskan kepada masyarakat siapa sebenar Dr Zakir Naik.

“Masyarakat pelbagai kaum dan agama di negara ini boleh melihat dari dekat siapa sebenarnya Dr Zakir.

“Langkah kerajaan negeri menjemput pendakwah terkenal itu ke Kelantan sebagai menyatakan solidariti terhadap tekanan yang dihadapinya sekarang,” katanya pada sidang media di sini semalam.

Sebelum itu beliau mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pelaksana Program Dr Zakir Naik : The Kelantan Tour 2019 di Stadium Sultan Muhammad IV.

Dr Zakir akan berada di Kelantan selama empat hari bermula 7 Ogos hadapan dan program kemuncak pidato perdana penyatuan ummah pada malam 9 Ogos di Stadium Sultan Muhammad IV. – HARAKAHDAILY 8/7/2019