PAS ada kaedah kukuh penyatuan Melayu

KOTA BHARU: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebagai parti pemerintah perlu memberi peluang kepada blok pembangkang bagi mengukuh pengaruhnya dalam kalangan orang Melayu.

Advertisement

Timbalan Mursyidul Am PAS, Ustaz Dato’ Ahmad Yakob berkata, perpecahan orang Melayu berlaku sekarang perlu dikembalikan semula bagi mempertahankan keutuhan orang Melayu dan Islam.

Katanya kerjasama antara PAS dan Umno mempunyai cara tersendiri untuk mendapatkan sokongan orang Melayu di negara ini.

“Jadi kita tolak pelawaan Pengerusi Bersatu Tun Dr Mahathir Mohamed supaya semua parti menyertai parti komponen Pakatan Harapan tersebut.

“Seruan perdana menteri tidak lebih sebagai strategi politiknya. Kita juga ada cara, PAS juga ada cara menyeru orang Islam serta parti untuk menyertai gabungan atas nama penyatuan ummah,” katanya selepas merasmikan Kelantan Charity Drive 2019 di Dataran Warisan kelmarin.

Program itu julung kali diadakan di Kelantan melibatkan penyertaan 140 pemilik kenderaan mewah dan ‘supercar’ dari seluruh negara.

Baru-baru ini Dr Mahathir mempelawa semua parti politik Melayu menyertai Bersatu bagi menguatkan kuasa politik orang Melayu.

Kenyataan Perdana Menteri juga mengundang tidak puas hati Presiden PKR Dato’ Seri Anwar Ibrahim apabila meminta Pengerusi Bersatu menjelaskan tawarannya membuka pintu kepada semua parti politik Melayu. – HARAKAHDAILY 8/7/2019