Anwar bela Wan Ji, ke mana pergi kebebasan kehakiman?

DATUK Seri Anwar Ibrahim, Presiden PKR menganggap hukuman penjara setahun yang dikenakan ke atas anak buahnya Wan Ji akibat menerbitkan penulisan yang menghasut Sultan Selangor sebagai terlalu keras dan tidak selari dengan pembaharuan demokratik yang dibawa kerajaan.

Advertisement

Mahkamah mendapati Wan Ji bukan hanya menghasut malah menanam sifat kebencian rakyat terhadap Institusi Raja-raja Melayu.

Mengapa “bakal PM” membela pesalah sebegini?

Raja-raja Melayu merupakan payung kepada agama Islam dan bangsa Melayu serta rakyat jelata amnya. Mengeluarkan perkataan atau penulisan yang menghina institusi yang dimuliakan ini adalah tindakan biadap dan mencabar adat serta budaya Melayu zaman-berzaman apatah lagi menghasut dan mengajak rakyat membencinya.

Mereka yang melanggar pantang-larang dan batas yang merupakan sebahagian dari amalan dan budaya kita memang sewajarnya dihukum jika sabit kesalahannya.

Orang Melayu tidak pernah diajar biadap dan derhaka. Masalahnya mengapa Anwar membela orang seumpama ini?

Pembaharuan demokratik apakah yang dibawa Anwar sehingga mengizinkan rakyat bertindak sebagaimana Wan Ji?

Jangan kerana kena atas kepala orang kita sendiri maka kita mahu beri perlindungan dan keistimewaan. Beginikah seorang “bakal PM”?

Satu demi satu kita diperlihatkan kemungkaran dan kerosakan pada kepimpinan PH yang sewajarnya menginsafkan kita jangan lagi serah nasib bangsa dan negara pada mereka ini.

Kesetiaan kepada Raja dan Negara, Kesopanan dan kesusilaan iaitu sebahagian dari prinsip Rukun Negara yang kita ajar pada anak-anak kita mahu kita junjung dan kekalkan demi keharmonian negara tetapi bagi Anwar dan konconya ia satu halangan terhadap entah pembaharuan demokratik apa yang mahu dibawa.

Pertahankan kebebasan kehakiman, pertahankan Institusi Raja-raja Melayu, pertahankan bangsa yang beradab dan bermaruah … katakan TIDAK pada Anwar dan PH! – HARAKAHDAILY 9/7/2019