Klinik Bola Sepak DACS cungkil pelapis negara

KAMPAR: Lajnah Seni, Budaya dan Sukan (DACS) Pemuda PAS Kawasan Kampar telah mengadakan program Klinik Bola Sepak Bawah 14 Tahun bertempat di Padang Sekolah Menengan Sentosa, di sini kelmarin.
 
Menurut Pengarah DACS Kampar, Abd Hady Azman, inisiatif ini kerana menyedari peri pentingnya menyediakan tunas untuk masa depan bola sepak negara.
 
Melalui program ini katanya, latihan untuk mencungkil bakat baharu diadakan khususnya melibatkan peserta dari sekolah rendah dan menengah, termasuk SRITI dan Maahad Tahfiz.
 
Pada perasmian yang disempurnakan Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS Kampar, Ahmad Bohari Hashim, beliau menyatakan bahawa profesion pemain bola sepak kini mempunyai masa depan.
 
Dalam pada itu, beliau juga menitip pesanan kepada peserta agar tidak mengabaikan akademik selain juga menjadi anak yang bertanggungjawab kepada ibu bapa serta keluarga.
 
Program tersebut yang menerima pendaftaran 90 peserta dipimpin Ketua Jurulatih, Rafdi Rashid serta bekas pemain bola sepak negara, M Nagaraja, selain Daniel Fadzly dan Rushanizam Idris.
 
Pada klinik awal ini para peserta memulakan sesi memanaskan badan, latihan menghantar bola dan sesi praktikal serta taktikal, sebelum serahan sijil dan fotografi bersama barisan jurulatih. – HARAKAHDAILY 9/7/2019
IMG 20190709 WA0067
 
IMG 20190709 WA0062
Advertisement