Muslimat gesa KKM tarik semula pelantikan Rania

MUSLIMAT PAS memandang serius pelantikan Rania Zara Medina sebagai Ahli Jawatankuasa (AJK) mewakili kumpulan transgender dalam Country Coordinating Mechanism (CCM) Malaysia oleh Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye kerana kita percaya ianya satu bentuk pengiktirafan kepada golongan transgender.
 
Persoalannya, kenapa Rania, transgender dan mendokong transgender ini dipilih? Adakah dengan penglibatan Rania yang disokong oleh Nisha Ayub ini dapat membantu membendung penyakit epidemik khasnya HIV/AIDS? Bagaimanakah Rania sebagai transgender dapat memberi pandangan ke arah menangani masalah ini sedangkan antara punca utama peningkatan penyakit HIV/AIDS adalah datang daripada hubungan sejenis? Apakah hala tuju dan misi Rania di CCM?
 
CCM merupakan satu komuniti yang telah mendapatkan sokongan dana daripada Global Fund yang dilihat menyokong agenda LGBT seperti yang berlaku di Botswana. Sebuah artikel bertajuk ‘The Global Fund Praises Botswana’s Move to Uphold Rights of LGBT People’ jelas menyatakan pujian Global Fund kepada aktivis yang memperjuangkan agenda LGBT di negara terbabit.
 
Memetik artikel di laman web Global Fund pada 17 Jun 2019, ‘Global Fund sangat menyokong semua usaha untuk mempromosikan dan melindungi hak asasi manusia dan kesetaraan gender, dan berkomited untuk menghapuskan halangan undang-undang dan lain-lain kepada perkhidmatan kesihatan. Mengambil tindakan untuk mengurangkan diskriminasi dan stigma adalah bahagian penting untuk menamatkan wabak HIV, TB dan malaria’.
 
Muslimat PAS bertegas meminta Kementerian Kesihatan menarik semula pelantikan tersebut dan mencadangkan agar wakil yang dilantik adalah daripada golongan ex-transgender yang mana mereka telah melalui fasa positif untuk kembali kepada fitrah. Muslimat PAS menyeru kepada semua badan bukan kerajaan (NGO) untuk bersatu dalam hal ini.
 
Promosi agenda kesetaraan gender bukan budaya masyarakat Malaysia. Menyokong pendirian Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah dalam satu temubual bersama pihak stesen radio BFM tahun lepas, membantah sokongan terhadap mana-mana aktivitis yang giat mempromosikan agenda LGBT ini, Muslimat PAS menggesa elemen normalisasi LGBT ini perlu dihentikan kerana ia bercanggah dengan prinsip agama dan Perlembagaan negara.
 
Golongan ini seharusnya dirawat apatah lagi golongan yang sudah dijangkiti virus epidemik ini, persoalannya adakah Rania berpendapat yang sama?
 
“Islam Memimpin Perpaduan”
“Islam Memimpin, Wanita Sejahtera”
 
YB SENATOR USTAZAH HAJAH NURIDAH MOHD SALLEH
Ketua Muslimat
Dewan Muslimat PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 10/7/2019
Advertisement