MP PAS gesa tangani isu-isu perikanan dan maritim

KUALA  LUMPUR: Kerajaan diharap dapat menangani isu-isu berkaitan perikanan dan maritim negara dengan lebih berkesan menerusi pindaan Akta Perikanan 1985.
 
Membahas RUU Perikanan (Pindaan) 2019 yang dibaca kali kedua dan ketiga, Dato’ Che Abdullah Mat Nawi (PAS – Tumpat) menggesa agar pindaan itu memberi perhatian kepada tiga isu.
 
Pertama ujarnya, pencerobohan nelayan asing melibatkan bot-bot daripada Vietnam yang pernah menerima kad kuning dari Suruhanjaya Eropah atas pelbagai kesalahan di sektor tersebut.
 
Kedua bangkit beliau, isu bot-bot nelayan tempatan yang melesenkan secara tidak sah bot nelayan luar dan ketiga, pembelian syarikat tempatan terhadap bot nelayan Vietnam.
 
“(Termasuk) dengan rupa bentuk dan kru semuanya daripada Vietnam. (Jadi) Ketiga-tiga isu ini perlu ditanggapi dengan cermat melalui pindaan ini supaya lebih bersifat menyeluruh demi menjaga hak dan kepentingan nelayan kita,” gesanya, kelmarin.
 
Beliau turut meminta perincian berkenaan rangka penyelarasan agensi penguatkuasaan yang akan mengetuai operasi, serta mendesak jumlah denda pencerobohan bot laut nelayan asing ditingkatkan.
 
Perbahasan itu juga menarik perhatian dewan terhadap isu syarikat tempatan yang membeli bot nelayan asing di mana kemudiannya diberikan lesen secara sah untuk beroperasi.
 
“Jika bot-bot tersebut dari aspek fizikal, malah krunya orang asing, tetapi mereka memperoleh lesen kerana dibeli syarikat tempatan, bagaimana penguatkuasaan berkesan dapat dilakukan?
 
“(Akhirnya) ke mana hasil tersebut didaratkan? Pengoperasian mereka dalam mendapat bekalan makanan, minyak dan sebagainya serta bagaimana memastikan peralatan penangkapan ikan mematuhi piawaian?
 
“(Juga) soal pembuktian yang lemah, apabila sesuatu kes di bawa ke mahkamah, ia tidak dapat didakwa kerana kekurangan bukti kukuh,” kesali beliau yang melihat punca masalah tersebut terus berlaku. – HARAKAHDAILY 11/7/2019
Advertisement