Pelihara tadahan air: Kedah wajar diberi bayaran khas

ADUN Pembangkang Dewan Undangan Negeri Kedah menyokong saranan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn Bhd (PBAPP) dan PBA Holdings Bhd (PBAHB), Datuk Jaseni Maidinsa semalam bahawa Kerajaan Pusat perlu memberi bayaran khas bagi ‘pengorbanan’ Kedah di Ulu Muda. 
 
Perkara ini sudah berbangkit lebih 15 tahun lalu, terutama ketika Dato’ Seri Syed Razak Syed Zain menjadi Menteri Besar Kedah. Ia kemudian diteruskan oleh Menteri Besar Kedah ke-10, Tan Sri Ustaz Azizan Abdul Razak ketika Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri.
 
Tuntutan Kedah kepada Persekutuan pada waktu itu ialah RM100 juta dan RM20 juta setahun kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Rundingan dengan Kerajaan Persekutuan telahpun berjalan, tetapi sunyi semula sejak PH mengambil alih kerajaan negeri. 
 
Kerajaan Negeri Pulau Pinang pula enggan memberi sebarang komitmen kewangan kepada Kedah sejak awal lagi, walaupun mereka sedar mereka bergantung sepenuhnya kepada Ulu Muda untuk bekalan air mentah.
 
Kami difahamkan keengganan ini ditegaskan sekali lagi apabila DAP yang menguasai Kerajaan Negeri Pulau Pinang juga menguasai Kementerian Kewangan Kerajaan Persekutuan. 
 
Selain membekalkan air mentah kepada Kedah, Pulau Pinang (84 peratus) dan Perlis (96 peratus), tadahan Ulu Muda juga menjadi sumber air untuk pengairan sawah padi dan pertanian makanan di Utara Semenanjung. 
 
Pada pandangan kami, Kerajaan Negeri Pulau Pinang  tidak wajar menyerahkan saja soal membayar pampasan ini kepada Kerajaan Persekutuan, sebaliknya wajib membuat bayaran bagi bekalan air mentah yang disedut dari Sungai Muda. 
 
Pengorbanan sebahagian besar tanah negeri Kedah untuk menyediakan sumber air dan tanah pertanian untuk makanan wajar mendapat pampasan yang setimpal daripada pihak yang menerima manfaat daripadanya. 
 
Bagi bekalan air mentah, Syarikat Air Darul Aman (SADA) sendiri membuat bayaran RM0. 03 (tiga sen) kepada Lembaga Pengurusan Sumber Air Negeri Kedah (LISAN) bagi setiap meter padu air mentah yang diperolehi dari sumber air di negeri ini. 
 
PBAPP jugak patut membuat bayaran yang sama kepada Kedah memandangkan mereka membuat keuntungan dalam industri bekalan air di negeri itu. 
 
Tuntutan Kedah sebanyak RM20 juta setahun kepada Pulau Pinang bukanlah satu permintaan yang tidak berasas. Pulau Pinang sepatutnya membayar, bukan melepaskan semua tanggungjawabnya kepada Persekutuan. 
 
Kami menggesa Kerajaan Negeri Kedah, Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Kerajaan Persekutuan segera ke meja rundingan untuk memuktamadkan perkara ini. 
 
Sekian. 
 
MUHAMMAD SANUSI MD NOR
Ketua Pembangkang DUN Kedah – HARAKAHDAILY 12/7/2019
Advertisement