Yayasan Isra’ M’sia akan laksana misi dakwah PNG

KUALA LUMPUR: Yayasan Isra’ Malaysia buat julung kalinya akan melaksanakan Misi Qurban dan Dakwah ke Papua New Guinea (PNG) sempena Aidil Adha pada 9 hingga 13 Ogos nanti.

Advertisement

Pengerusinya, Ustaz Ahmad Tarmizi Sulaiman memaklumkan, jumlah penganut Islam di PNG telah meningkat secara mendadak iaitu 500 orang pada 2001, tetapi pada 2012 telah seramai 5,000 orang.

Katanya, dengan jumlah besarmuallaf dan kecenderungan atau minat yang kian meningkat dalam penduduk PNG kepada Islam, maka Yayasan Isra’ mengambil peranan tersebut.

Oleh itu terangnya, pihak beliau akan membantu mengadakan usaha dakwah mengembangkan Islam di PNG, selain menyampaikan bantuan untuk pendidikan termasuk pembinaan masjid.

“Yayasan Isra’ juga akan menyampaikan wakaf al-Quran sempena ibadah Qurban yang dijalankan nanti selain turut berhasrat membangunkan Pusat Dakwah di sana bagi membina jaringan sosial dan kegiatan Islam.

“Jadi langkah ini walaupun baharu tetapi kami mahu mengeratkan silaturahim disamping memberi sokongan moral untuk saudara kita di sana istiqamah bersama ajaran Islam,” ujarnya.

Misi itu nanti menurutnya, akan diketuai Ahli Jawatankuasa Isra’ dan wakil NGO Syabab Care serta ahli-ahli grup FB Titian Kasih dan wartawanHarian Metro sepanjang tempoh tersebut.

Selain itu katanya, misi tersebut turut merangka pertemuan dan lawatan mahabah kepada rakan perhubungan projek dakwah ini bersama Suruhanjaya Tinggi Malaysia di PNG.

Tambah beliau, pembinaan masjid yang dianggarkan bernilai RM50,000 itu masih memerlukan dana sebanyak RM30,000, manakala wakaf al-Quran dengan harga RM30 seunit.

Bagi penyertaan ibadah Qurban pula pihak beliau menawarkan lembu RM800 bagi satu bahagian dan RM750 seekor kambing dengan maklumat lanjut boleh terus menghubungi talian 014-3388099.

Orang ramai juga boleh turut sama meningkatkan saham akhirat menjayakan misi-misi dakwah ke PNG ini dengan sumbangan ke akaun Yayasan Isra’ Malaysia 5520 9523 0206 Maybank. – HARAKAHDAILY 12/7/2019

IMG 20190712 WA0026

IMG 20190712 WA0028