PASRelief pelawa sertai Misi Korban dan Akikah

KUALA  LUMPUR: Pusat Bantuan dan Kemanusiaan PAS (PASRelief) sekali lagi menganjurkan ibadah korban dan akikah yang akan dilaksanakan sempena Aidil Adha tahun ini.

Advertisement

Ia akan diadakan di beberapa lokasi di dalam Arakan seperti Buthidaung, Muangdaw, Sittwe dan Marak-U di Myanmar iaitu perkampungan etnik Rohingya yang terkepung mustakbirin.

Termasuk akan dilaksanakan dalam kem-kem pelarian Rohingya di Cox’s Bazar, Bangladesh, selain juga Mindanao, Filipina melibatkan Muslim kalangan mangsa perang Merawi.

Harga penyertaan korban yang ditawarkan adalah RM2,730 bagi seekor lembu dan RM390 untuk satu bahagian, manakala seekor kambing pula ditawarkan dengan harga RM490.

PASRelief juga buat pertama kali akan melaksanakan program korban ini di Surabaya, Indonesia sebagaimana seruan daripada Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Ketika mengulas seruan Tuan Guru itu, Pengerusi PASRelief, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, di Surabaya terdapat ramai umat Islam yang miskin dan belum pernah disantuni saudara seagama sendiri.

Di mana menurut beliau, dari segi sejarah dan realiti semasa Muslim di situ adalah dalam kalangan pejuang-pejuang Islam yang berjasa kepada perkembangan agama Islam di rantau Nusantara ini.

“Islam berkembang kerana perjuangan dan ketahanan mereka menempuh ujian. Rakyat mereka ramai, pendapatan mereka kecil, kehidupan mereka sukar.

“Tapi mereka istiqamah dengan Islam dan mereka lebih hampir dengan kita (di Malaysia). Sebarang perubahan dan perkembangan mereka akan memberi kesan dan pengaruh kepada kita dan sekitar Nusantara.

“(Jadi) Hubungan erat harus dibina atas kepentingan Islam dan geopolitik Nusantara,” ujar beliau mengajak penerokaan dan meluaskan hubungan bersama saudara seperjuangan di Jawa Timur itu.

Cerita beliau, di Surabaya dahulunya muncul Kerajaan-kerajaan Islam yang besar dan berjuang menyebarkan Islam seperti Kerajaan Demak, Pajang dan Mataram selepas kejatuhan kerajaan Hindu dan Buddha di era Sriwijaya dan Majapahit.

Katanya juga, Demak menghantar beberapa angkatan perang untuk membebaskan Melaka dari Portugis diketuai sendiri oleh Sultan Patu Unus sebagai Ketua Armada Perang.

Malah ujarnya, Sultan Demak ada yang syahid ketika berperang membebaskan Melaka atas tanggungjawab persaudaraan Islam dari Portugis selaku pihak datang menjajah atas kepentingan Kristian.

Pelaksanaan korban dan akikah di Surabaya ini PASRelief membuka penyertaan umum dengan harga RM6,400 bagi seekor lembu dan RM915 untuk satu bahagian, manakala kambing RM800 seekor.

“Ternakan korban di Surabaya agak mahal kerana supply’ amat sedikit. Tak banyak ternakan untuk korban berbanding jumlah penduduk. Korban ini paming berharga berbanding korban murah. Kan namanya korban, kenapa cari yg murah-murah saja?” ujarnya.

Pendaftaran korban atau akikah ini boleh dibuat menerusi transaksi ke akaun Maybank 5640 7061 2333 PASRelief atau 5640 7061 1352 Tabung Kemanusiaan Antarabangsa.

Sebarang pertanyaan boleh hubungi 01120775802 (Haji Yunus), 0183120900 (Izwan), 0125969220 (Haji Sanusi) atau Pengarah PASRelief, Ustaz Mohd Yusni Mat Piah (0194500660). – HARAKAHDAILY 13/7/2019

IMG 20190713 WA0026

IMG 20190713 WA0025