Pemuda wakili penduduk bantah jualan arak

BANGI: Pemuda PAS Kawasan Bangi bersama Persatuan Penduduk Bandar Baru Bangi (Bangiku) dan Masjid Hasanah telah membuat bantahan terhadap penjualan arak di premis perniagaan, di sini.
 
Bantahan atas jualan secara terbuka diajukan dengan serahan surat bantahan kepada pihak KK Super Mart Seksyen 7 dan Pasaraya TSK Segar Seksyen 8 Bandar Baru Bangi.
 
Ketua Pemuda PAS Bangi, Khairul Nadzir Hilmi berkata, bantahan itu adalah kerana ia berada dalam kawasan majoriti Muslim dan penjualan arak secara terbuka dianggap tidak menghormati sensitiviti ummat Islam.
 
“Keduanya, kami ingin membela pekerja Muslim yang terpaksa berurusan dengan penjualan arak. Kita semua maklum bahawa orang Islam bukan sahaja tidak boleh meminum arak tetapi juga tidak boleh terlibat dengan segala urusan yang berkaitan dengannya seperti menjual, membawa, menghidang dan sebagainya.
 
“Atas alasan inilah, maka Pemuda PAS Bangi telah membuat bantahan bagi menyelamat masyarakat yang mendiami Kawasan Bangi ini daripada terjebak dengan aktiviti yang tidak bermoral yang melibatkan arak,” ujarnya.
 
Dalam masa yang sama katanya, Pemuda PAS Bangi terus komited menggerakkan agenda amar maruf dan nahi mungkar bagi memastikan Bangi bebas maksiat. – HARAKAHDAILY 14/7/2019
Advertisement