Akta Hasutan 1948: Perlu diharmoni, bukan mansuh

JABATAN Undang-Undang Dan Hak Asasi Manusia Dewan Pemuda PAS Malaysia (JUHAM) menyokong penuh kenyataan Tuan Guru Presiden PAS bertarikh 13 Julai 2019 yang menggesa kerajaan mengekalkan Akta Hasutan 1948, tetapi mencadangkan takrif hasutan untuk dibincangkan dengan lebih jelas supaya undang-undang itu tidak disalahgunakan.
 
Usaha Kerajaan PH untuk memansuhkan Akta Hasutan 1984 kini kembali menjadi ‘isu hangat’ sejak keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 8 Julai 2019 yang menolak rayuan Wan Ji bin Wan Hussin terhadap sabitan dan hukuman kerana menerbitkan perkataan menghasut dan menghina DYMM Sultan Selangor. 
 
Walaubagaimanapun, sebarang usaha untuk memansuhkan Akta Hasutan 1948 hendaklah dibawa terlebih dahulu kepada perhatian dan persetujuan Majlis Raja-Raja Melayu bagi mengelakkan ianya tidak lebih sekadar retorik politik yang akan mengundang kecaman.
 
Kecelaruan Kerajaan PH dalam isu ratifikasi perjanjian ICERD yang mana pada akhirnya tidak mendapat ‘restu’ dari Majlis Raja-Raja Melayu menjustifikasikan kecelaruan yang akan turut berlaku dalam usaha Kerajaan PH untuk memansuhkan Akta Hasutan 1984. Ini disebabkan Akta Hasutan 1984 tidak boleh dibatal, dipinda melainkan dengan persetujuan Majlis Raja-Raja dan sokongan majoriti dua pertiga ahli Parlimen. 
 
Perkara 10(4) Perlembagaan Persekutuan telah digubal untuk  menyekat kebebasan bersuara masyarakat terhadap empat perkara yang dianggap sensitif iaitu bahasa kebangsaan, hak istimewa Bumiputera, hak warganegara Malaysia dan kedaulatan dan kuasa Raja-Raja Melayu. Justeru sokongan majoriti dua pertiga Parlimen diperlukan untuk meluluskan sebarang pindaan dan pembatalan terhadap Akta Hasutan tersebut sebagaimana yang diperuntukkan oleh Perkara 159(3) Perlembagaan Persekutuan.
 
Seterusnya persetujuan Majlis Raja-Raja juga diperlukan untuk meminda atau membatalkan Akta Hasutan kerana ianya berkaitan dengan Perkara 10(4), Perkara 152 (kedudukan Bahasa Melayu), Perkara 153 (kedudukan istimewa Bumiputera), hak warganegara Malaysia sebagaimana yang diperuntukkan Perkara 159(5) Perlembagaan Persekutuan. 
 
JUHAM tetap dengan pendirian bahawa tiada apa-apa juga undang-undang yang bersifat zalim dan menindas wajar dikuatkuasakan. Namun, melihat kepada situasi hari ini, kelihatan isu-isu sensitif melibatkan ras kaum, bangsa dan agama serta Institusi Raja-Raja semakin galak ‘diuji’ dan ‘dicabar’ oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Maka, undang-undang seperti Akta Hasutan 1984 masih lagi diperlukan bagi mengimbangi hak kebebasan bersuara dan tanggungjawab terhadap masyarakat. 
 
JUHAM mengajak Kerajaan PH mengambil iktibar dalam tindakan tergesa-gesa mereka memansuhkan Akta Antiberita Tidak Benar 2018 sebelum ini. Kesannya, sehingga kini penularan berita-berita dan maklumat palsu yang bersifat fitnah semakin sukar dibendung dan menjadi barah kepada masyarakat.  Maka, dalam perihal Akta Hasutan 1984 ini, satu tindakan berhemah dan holistik perlu dilakukan dan bukan sekadar menunaikan janji-janji Manifesto Suci PH semata-mata. 
 
Sebaliknya, JUHAM bertegas dan sepenuhnya percaya  bahawa Akta Hasutan 1984 ini perlu ‘diharmonikan’ dan diberikan roh yang dapat memberikan keadilan kepada semua pihak dalam perlaksanaannya. Ia tidak boleh dijadikan sebagai suatu alat untuk menutup mulut atau mematikan langkah musuh-musuh politik atau digunakan secara tidak sah bagi tujuan-tujuan mala fide (niat jahat) kepada sesiapa sahaja. Umpama sebilah pisau, ia boleh digunakan untuk tujuan kebaikan, tetapi di masa yang sama ia juga boleh digunakan untuk menyerang dan membunuh. 
 
Akhirnya, JUHAM bersedia menawarkan kepakaran untuk membantu pihak Kerajaan PH untuk menambahbaik dan mengharmonikan Akta Hasutan 1984 ini bagi menjaga keadilan dan menjamin keharmonian masyarakat dan negara.
 
“Demi Islam”
“Islam Memimpin Perpaduan”
 
NOORHISHAM ABDULLAH
Ketua Pengarah
Jabatan Undang-undang dan Hak Asasi Manusia
Dewan Pemuda PAS Malaysia
15 Julai 2019 I 12 Zulkaedah 1440 – HARAKAHDAILY 15/7/2019
Advertisement