Bebas cukai: Pebelanjaan semasa RM188 juta

ripin

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Terengganu masih dalam pertimbangan terhadap perancangan pembangunan Zon Bebas Cukai Pulau Bayas di Tasik Kenyir, setelah membelanjakan lebih RM188 juta sebelum ini.

Advertisement

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata, kos keseluruhan projek pembangunan Pulau Bebas Cukai di Pulau Bayas itu bernilai RM243,555,183.35 untuk enam pakej.

“Perancangan pihak kerajaan terhadap pembangunan Pulau Bayas di Tasik Kenyir adalah dalam pertimbangan, untuk menyiapkan projek ini dengan menggunakan beberapa pilihan penyelesaian.  

“Perbelanjaan semasa yang telah dibelanjakan adalah berjumlah RM188,117,514.63 daripada keseluruhan kos projek bernilai RM243,555,183.35 dan bagi kesemua enam pakej dalam Pembangunan Pulau Bebas Cukai di Pulau Bayas,” jelasnya.

Beliau menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim pada Mesyuarat Kedua Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri (Dun) ke-14, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

Menurut Ariffin, pakej pembangunan Zon Bebas Cukai di Pulau Bayas itu ada enam dengan pakej empat dan pakej enam telah siap sepenuhnya.

Manakala, katanya pakej yang lewat siap dan tergendala ialah pakej pertama, kedua, ketiga dan kelima yang turut dikenakan denda sehingga 30 April 2019.

“Pakej pertama, kerja-kerja membina dan menyiapkan terminal utama iaitu jeti penumpang, jeti servis dan kerja-kerja berkaitan pembangunan Kenyir Trade Centre di Pulau Bayas, Tasik Kenyir, Hulu Terengganu. Harga kontrak RM70,993,030.30 dan siap 80.84 peratus dengan nilai denda RM10,790.94 sehari dengan jumlah dendanya RM4,003,488.74.

“Pakej kedua, kerja membina dan menyiapkan kompleks membeli-belah dan kerja-kerja berkaitan untuk Pembangunan Kenyir Trade Centre di Pulau Bayas, Tasik Kenyir. Harga kontraknya RM57,950,500.00 dan siap 55.04 peratus dikenakan dendanya RM8,808.48 sehari sehingga Mei 2019, jumlah denda RM3,866,922.72.

“Pakej ketiga, kerja membina dan menyiapkan pencawang elektrik, sistem agihan bekalan voltan tinggi dan rendah, serta kerja berkaitan untuk Pembangunan Kenyir Trade Centre di Pulau Bayas, Tasik Kenyir. Siap 73.45 peratus sehingga Mei 2019, dikenakan denda RM1,355.08 sehari dengan jumlah denda RM1,340,174.12.

“Dan pakej kelima, kerja membina dan menyiapkan sistem rawatan air, sistem rawatan kumbahan dan kerja berkaitan dengan Pembangunan Kenyir Trade Centre, di Pulau Bayas. Status siapnya 79.90 peratus dikenakan denda RM2,019.03 sehari, jumlah denda sebanyak RM1,221,515.13 kesemuanya,” ujar beliau.  

Menurut beliau, jumlah denda yang dikenakan terhadap pakej projek yang terlewat itu adalah sebanyak RM10,432,098.70 keseluruhannya. – HARAKAHDAILY 15/7/2019