Gesa siasat permohonan ambil tanah Kg Sim Sim

SANDAKAN: PAS Kawasan Sandakan menggesa pihak Polis DiRaja Malaysia untuk mengadakan siasatan menyeluruh berhubung wujudnya permohonan tanah melibatkan Kampung Sim Sim, di sini.
 
Perkara tersebut disuarakan Yang DiPertua PAS Sandakan, Sahar Abdul Majid sebagai memanjangkan kebimbangan disuarakan penduduk dan demi kepentingan mereka yang mendiami di situ.
 
Tuntutan diwakilinya itu berikutan Adun Tanjung Papat, Datul Frankie Poon Ming Fung membuat penafian susulan tularnya di media sosial satu surat sokongan permohonan tanah tersebut dibuat pihak tertentu.
 
Surat bertarikh 10 Jun itu telah ditandatangani oleh Setiausaha Sulit Ketua Menteri Sabah, Francis Au itu ditujukan kepada Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur Sabah melibatkan tanah seluas 740 ekar.
 
Permohonan atas nama Christoper Chai Chi Fui beralamat di Bandar Utama Sandakan itu dengan tujuan membina projek Pelabuhan Pusat Tarikan Pelancong dan Pemprosesan Makanan Laut ke antarabangsa.
 
“Kita minta PDRM siasat jika benar ia adalah permohonan yang tiada kena mengena dengan pihak berkepentingan dalam projek yang telah dilancarkan oleh Adun Tanjung Papat itu pada april tahun lalu,” jelas Sahar.
 
Menurut beliau, bukan sahaja Adun Tanjung Papat itu yang perlu menafikannya, tetapi juga pihak kerajaan dan Jabatan Tanah Negeri perlu turut sama menafikan bagi menjaga kreadibiliti kerajaan dan jabatan itu.
 
Selain itu katanya, pemohon dan pihak yang berkaitan harus diseret ke muka pengadilan jika benar itu adalah permohonan yang sengaja mencemarkan nama baik Ketua Menteri dan kerajaan negeri.
 
Terdahulu, Sahar menegaskan, pelan pembangunan semula Sim-Sim 2018-2030 yang telah dilancarkan oleh Adun Tanjung Papat itu perlu dibuat kajian menyeluruh dengan mengambilkira pelbagai perkara.
 
“Ia termasuklah ekosistem kehidupan marin di pesisir pantai Kampung Sim Sim dan apa yang lebih penting adalah masa depan penduduk peribumi di kampung itu menjadi keutamaan.
 
“PAS tidak menolak pembangunan, namun yang lebih penting ialah pembangunan yang hendak dibuat mestilah memberi manfaat sepenuhnya untuk rakyat dan bukan sekelompok pihak yang berkepentingan sahaja.
 
“Kita tidak mahu ada motif terselindung disebalik projek bersekala besar ini, kerana ia sudah pasti akan merugikan rakyat,” ujarnya.
 
Tambahnya, PAS mencadangkan agar projek mega seperti ini sepatutnya dikendalikan sepenuhnya oleh pihak kerajaan, bukannya diserahkan sepenuhnya kepada individu atau syarikat untuk melaksanakan projek berkenaan. – HARAKAHDAILY 15/7/2019
Advertisement