GST: Isu tunggakan bayaran balik akan selesai

KUALA LUMPUR: Isu berhubung kehilangan wang tuntutan tunggakan bayaran balik Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) bakal diselesaikan hari ini, selepas hampir setahun Menteri Kewangan, Lim Guan Eng membuat pendedahan mengenainya.

Advertisement

Hal ini kerana, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara, (PAC) Parlimen akan membentangkan laporan tersebut yang didakwa berjumlah RM19.4 billion itu di Dewan Rakyat, hari ini.

Ogos lalu, Lim Guan Eng mendakwa bahawa terdapat sejumlah RM19.4 billion dalam tunggakan pembayaran bagi tuntutan cukai input GST sejak pelaksanaanya pada April 2015 sehingga Mei 2018, namun baki sedia ada dalam tabung bayaran balik hanya sekitar RM1.49 billion.

Justeru itu, PAC memulakan prosiding siasatan bermula 12 September 2018 dengan memanggil semua pihak berkepentingan dalam industri tersebut termasuk Menteri Kewangan, Mantan Menteri Kewangan, Mantan Menteri Kewangan II, Ketua Setiausaha Perbendaharaan bersama mantannya, serta Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Akauntan Negara.

Antara perkara yang dibangkitkan dalam mesyuarat ahli-ahli PAC Parlimen ialah kegagalan memasukkan kutipan GST ke dalam Kumpulan Wang Bagi Pembayaran Balik GST, penggunaan kuasa Menteri Kewangan di bawah Seksyen 54(5) Akta GST 2014, penetapan pindahan kadar 35 peratus daripada kutipan hasil GST ke dalam Kumpulan WAng Pembayaran Balik GST, dan lain-lain lagi.

Orang ramai yang berminat untuk meneliti Laporan PAC Parlimen berhubung tuntutan tunggakan bayaran balik GST oleh JKDM di bawah Kementerian Kewangan boleh memuat turun laporan berkenaan di laman web PAC, www.parlimen.gov.my/pac – HARAKAHDAILY 15/7/2019