T’ganu bantu 528 usahawan, peniaga kecil

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Terengganu melalui Tabung Usahawan Sejahtera (TUGAS), yang diuruskan oleh Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) telah membantu seramai 528 usahawan dan peniaga kecil di negeri ini.

Advertisement

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, kerajaan negeri telah meluluskan pinjaman sebanyak RM4,486,939.20 kepada para usahawan.

Menurut beliau, dari jumlah 528 penerima pinjaman itu pihak TUGAS telah menerima permohonan sebanyak 642 pemohonnya.

“Alhamdulillah, TUGAS telah menerima sambutan baik daripada usahawan-usahawan dan pinjaman yang telah diluluskan sebanyak RM4,486,939.20 yang melibatkan seramai 528 usahawan dan peniaga kecil.

“Jumlah permohonan yang diterima untuk permohonan dalam Tabung TUGAS melalui YPU, kita telah menerima permohonan sebanyak 642 pemohon.

“Insya Allah, dalam masa terdekat ini, seramai 80 permohonan baharu dalam proses akhir untuk kita luluskan. Berdasarkan kepada jumlah permohonan itu, anggaran yang kita (kerajaan) jangkakan akan dikeluarkan lagi adalah berjumlah RM1.2 juta,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soal lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Buluh Gading, Ridzuan Hashim, pada Mesyuarat Kedua Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri (Dun) Ke-14, di Wisma Darul Iman, semalam.

Soalan asal Ustaz Ridzuan, berapakah jumlah penerima bantuan pinjaman melalui Tabung Usahawan Sejahtera (TUGAS) yang telah diluluskan sehingga Jun 2019 dan berapakah jumlah keseluruhannya.

Kata Nurkhuzaini, bagi memastikan usahawan-usahawan itu berjaya pihak YPU mempunyai kaedah tersendiri membimbingnya.

“Antaranya, kita (YPU) menjalinkan hubungan baik dengan peminjam-peminjam itu dan memastikan peminjam-peminjam menggunakan pinjaman yang mereka dapat itu bersesuaian dan bertepatan dengan hasrat sebenar.

“Kedua, pihak YPU sendiri sentiasa memantau mereka ini dan meminta laporan-laporan yang berkaitan.

“Ketiga, kita menggalakkan usahawan-usahawan mengikuti kursus-kursus dan program-program yang kita anjurkan. Ada agensi-agensi kita yang banyak membantu usahawan ini untuk menambahkan pengetahuan mereka,” jelasnya kepada Dun Terengganu.

Menjawab soalan tambahan Adun Buluh Gading mengenai bantuan usahawan kepada golongan Orang Kelainan Upaya (OKU), katanya kerajaan negeri menyediakan tabung khas.

“Tabung D’Hati iaitu Dana Prihatin Terengganu yang khusus untuk Orang Kelainan Upaya (OKU). Sejak ianya dilancarkan, kita ada menerima dan kita meluluskan 100 peratus, tapi jumlahnya iaitu dua orang.

“Kita (kerajaan) harap golongan OKU ini dapat mengambil kesempatan atas tawaran kerajaan ini untuk membantu mereka dan melicinkan lagi perniagaan atau bidang keusahawanan, yang mereka ceburi.

“Kedua-dua usahawan OKU itu masing-masing terlibat dalam bidang pembuatan batik dan urutan tradisional,” ujarnya.

Persidangan pertengahan tahun Dun Terengganu kali ini diadakan selama dua hari pada 15 dan 16 Julai, yang pada lazimnya hanya satu hari amalan kerajaan Barisan Nasional (BN) terdahulu. – HARAKAHDAILY 16/7/2019