Tangguh dulu pelaksanaan levi pelepasan

PELAKSANAAN levi pelepasan bermula September tahun ini boleh menyumbang kepada kegagalan Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2020 yang menyasarkan 30 juta pelancong dengan kutipan RM100 bilion. Sejak 2 tahun lalu, jumlah pelancong ini hanya 25.8 juta sahaja setahun.

Advertisement

Ini kerana pelaksanaan levi pelepasan ini boleh menyebabkan jumlah penumpang udara akan berkurang sekali gus mengurangkan jumlah pelancong.

Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS) pada 2018 menjangkakan sejumlah 6% penumpang atau 2 juta pelancong akan berkurangan dengan pelaksanaan levi pelepasan. Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) pada tahun ini juga menjangkakan jumlah penumpang akan berkurang sebanyak 835,000 setahun.

Sepatutnya Kerajaan mengambil pengajaran daripada pelaksanaan pelbagai cukai atau caj sebelum ini sehingga sumbangan sektor penerbangan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menyusut sebanyak AS$419 juta (RM1.72 bilion), menyebabkan kehilangan 5,300 pekerjaan serta menghakis daya saing Malaysia sebagai destinasi pelancongan.

Pada 2017, Cukai Pelancongan dikenakan kepada pelancong asing yang menginap di hotel. Pada 2018, caj perkhidmatan penumpang (PSC) dinaikkan. Pada Mac tahun ini pula, Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) mula melaksanakan caj RM8 bagi bas persiaran dan RM4 bagi van pelancong untuk mengambil dan menurunkan penumpang di KLIA2. Saya percaya jika levi pelepasan tetap diteruskan pada September ini, industri pelancongan akan semakin merosot teruk.

Oleh itu, saya menggesa supaya levi pelepasan ini ditangguhkan dahulu sehingga telah mengambil kira prestasi TMM2020 nanti.

“Islam Memimpin Perpaduan”

DATO’ DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
Ahli Parlimen Kuala Nerus
Isnin, 15 Julai 2019 | 11 Zulkaedah 1440 – HARAKAHDAILY 15/7/2019