Bela nasib nelayan, tangani pencerobohan perairan

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen PAS mendesak Kerajaan Persekutuan mengambil serius berhubung masalah pencerobohan nelayan asing ke perairan negara ini.
 
Ahli Parlimen Kubang Kerian, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kerajaan perlu mempertingkatkan pengawasan wilayah perairan negara supaya tidak sewenangnya diceroboh.
 
Menurutnya, apabila pihak asing terus berekonomi di negara ini dengan mengambil hasil perairan negara ia tentunya akan menjejaskan pendapatan nelayan tempatan.
 
“Kita mengakui bahawa kerajaan mempunyai sumber yang terhad bagi mengawal (wilayah perairan). Namun ia perlu dipertingkatkan pengawasan wilayah kita supaya tidak diceroboh oleh pihak asing yang terus berekonomi negara kita.
 
“Apabila pihak asing menceroboh boleh lihat bagaimana sumber kita diambil oleh pihak luar dan mereka ini mengurangkan sebahagian besar pendapatan nelayan kita,” katanya kepada pemberita di luar perkarangan Parlimen hari ini.
 
Beliau yang juga Timbalan Presiden PAS menyatakan, pihaknya prihatin dan akan membawa suara nelayan itu ke Dewan Rakyat sebagai pendesak kepada kerajaan.
 
Katanya, walaupun sebelum ini Menteri sudah menyebut di dalam Dewan Rakyat akan bertindak agresif, namun pihaknya akan lihat sejauh mana tindakan yang akan diambil kerajaan.
 
Kerana ujar beliau, ia berikutan nelayan asing semakin berani menceroboh perairan negara dan tidak takut dengan kawalan daripada pihak penguat kuasa.
 
Terdahulu, para nelayan mengadakan demostrasi aman di luar Parlimen untuk menyerahkan memorandum bagi mendesak kerajaan mengambil serius berhubung pencerobohan nelayan asing di perairan negara. – HARAKAHDAILY 16/7/2019
Advertisement