Gelaran: Penjelasan Istana Diraja Kelantan

KOTA BHARU: Pengelola Istana Diraja Kelantan, Datuk Nik Mohd Shafriman Nik Hassan memaklumkan tiada sesiapa boleh digelar sebagai Permaisuri Kelantan atau Raja Perempuan Kelantan tanpa pengumuman rasmi Istana Kelantan.

Advertisement

“Adalah dimaklumkan bahawa tiada sesiapa pun boleh digelar Permaisuri Kelantan, Raja Perempuan Kelantan, Sultanah Kelantan atau Queen of Kelantan tanpa pengumuman rasmi Istana Kelantan.

“Yang Teramat Mulia Dr Tengku Muhammad Fa-iz Petra ibni Sultan Ismail Petra ialah Tengku Mahkota Kelantan dan bonda Sultan Muhammad V, Yang Maha Mulia Tengku Anis  Almarhum Tengku Abdul Hamid digelar Yang Maha Mulia Raja Perempuan Tengku Anis,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, pagi ini.

Beliau menegaskan hanya pengumuman rasmi dari Istana Kelantan yang boleh diambil kira sebagai berita yang tepat dan boleh diterima pakai oleh rakyat dan pengamal media.

“Pihak Istana menyeru supaya rakyat dan pengamal media tidak mudah terpengaruh dengan penyebaran maklumat yang tidak sahih di media sosial,” katanya. – HARAKAHDAILY 16/7/2019