Fitnah 9 bulan berlalu begitu sahaja

HARI ini sekali lagi persidangan Dewan Rakyat kecoh, panas dan tegang. Mengulangi apa yang berlaku pada 11 April lepas.

Advertisement

Ketika itu Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Liew Vui Keong mengemukakan usul bagi menggantung Dato’ Seri Najib Razak daripada menghadiri persidangan parlimen.

Isunya timbul apabila ahli parlimen Pekan itu didakwa membocor lebih awal dokumen Kertas Putih Felda di Facebooknya. Kecoh parlimen sepanjang sesi pagi itu.

Penyokong kerajaan sepakat mahu merujuk bekas perdana menteri ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen. Usul penggantungan terbabit berlalu begitu sahaja sehingga sesi pertama parlimen berakhir.  

Dan hari ini babak-babak serupa berulang lagi. Sasarannya bukan lagi Najib sebaliknya Menteri Kewangan Lim Guan Eng. Isunya berbeza. Pembangkang bermatian mendakwa Menteri Kewangan berbohong pada persidangan tahun lepas.

November tahun lepas Guan Eng dilapor menyebut sekiranya wang bayaran balik GST berjumlah RM19.4 bilion masih ada maka ‘kendurilah saya’.

“Kami beritahu (duit itu) tak ada… Jika masih ada. Kita tak perlu ambil dari Petronas,” katanya seperti dilapor laman berita.

Beliau dikatakan berulang kali menyebut kerajaan dahulu ‘merompak’ bayaran balik GST yang sepatutnya dipulangkan kepada peniaga.

Isu rompak wang GST tidak berakhir di situ. Menteri Kewangan kemudian dipanggil mengadap Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).

Ketika ditemui pemberita ketika itu Guan Eng dilapor terkejut apabila PAC beranggapan wang itu masih ada.

“Saya fikir PAC faham dengan penjelasan diberikan. Mereka ada tanggapan yang silap bahawa duit RM19.4 bilion itu masih ada, namun kita akan ketahuinya juga akhirnya,” ujar beliau.

Dan semalam segala teka teki itu terjawab. Pengerusi PAC Dato’ Dr Noraini Ahmad menyebut kutipan wang GST berjumlah RM19.4 bilion disahkan tidak dirompak kerajaan Barisan Nasional (BN). Sebaliknya ia digunakan bagi perbelanjaan mengurus dan pembangunan.

Dalam tempoh sembilan bulan momokan BN (Najib) merompak wang GST disebar ke seluruh pelusuk kampung.

Persoalannya sekarang darjah kesalahan membocor awal maklumat Kertas Putih Felda mungkin tidak setinggi menuduh kerajaan BN merompak.

Isu yang disasar terhadap ahli parlimen Pekan April lepas kerana membocor awal laporan kertas putih. Mungkin ia berkisar isu teknikal. Ia berbeza dengan tuduhan merompak.

Namun hari ini pembangkang pula bertekad membawa Guan Eng kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen. Pembangkang bangun silih berganti.

Ketegangan itu berlaku kira-kira sejam turut disaksikan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.  
   
Biarpun pelbagai alsan dan fakta ditampilkan namun Speaker Dewan Rakyat Dato’ Mohamad Ariff Md Yusof menolak usul pembangkang.

Pada peringkat awal Speaker seakan-akan berbelah bagi. Ada bayangan mahu Menteri Kewangan menarik balik perkataan merompak seperti dihasratkan ahli parlimen Kuala Krau, Dato’ Seri Dr Ismail Mohamad Said.

Namun ahli parlimen DAP sepakat mempertahankan Guan Eng. Antaranya ahli parlimen Kota Melaka Khoo Poay Tiong. Mereka beberapa kali bangun mengemukakan peraturan Dewan.

Ramai melihat Speaker tidak memanfaatkan ruang bagi memperlihat era Malaysia Baharu ada ketelusan.

Mungkinkah ia sekadar ‘kong kali kong’ mengulangi sisi negetif kerajaan lama. Fitnah disebar sembilan bulan lalu ternyata gagal dibersihkan hari ini.

Dibimbangi peristiwa yang berlaku itu menjadi alasan untuk rakyat menggelarkan PH hanya kerajaan sepenggal.

Itu belum lagi diambil kira pertembungan dramatik antara Presiden PKR dan Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali sekarang.

Kata Dato’ Seri Anwar Ibrahim, .. perlu meletak jawatan daripada kabinet jika terbukti dia terlibat dalam video seks.

“Pandangan awal saya, dia tak perlu letak jawatan. Tapi sekarang bergantung kepada penyiasatan,” ujar Anwar seperti dilapor laman berita.

Sebaliknya Dr Mahathir menyifatkan video itu hanya bertujuan untuk menyekat kejayaan politik bukan untuk mendedahkan salah laku.

Itu pun belum lagi diambil kira konflik yang berlaku di Johor dan Pulau Pinang yang semakin hangat sekarang. – HARAKAHDAILY 17/7/2019