Panel syariah di Kelantan, Terengganu

KOTA BHARU: Biarpun Kelantan dan Terengganu ditadbir di bawah kepemimpinan ulama, namun dianggap wajar memiliki jawatankuasa panel syariah.

Advertisement

Timbalan Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Dato’ Dr Johari Mat berkata, dengan adanya jawatankuasa itu ia dapat mengkaji secara lebih mendalam sesuatu isu berbangkit.

Katanya walaupun anggota Exco kerajaan negeri di Kelantan dan Terengganu ramai lulusan agama namun wajar ada badan yang boleh membuat kajian lebih mendalam mengenai sesuatu perkara.

“Lagipun mereka tidak ada masa untuk membuat rujukan yang agak mendalam kerana kekangan tugas sebagai pentadbir dan wakil rakyat.

“Jadi badan itu akan melihat terlebih dahulu sesuatu projek yang hendak dilaksanakan sama ada patuh syariah atau sebaliknya,” ujarnya di sini.

Oleh itu kata beliau wajar Kelantan dan Terengganu mewujudkan bagi memperhalusi setiap dasar dan perancangan kerajaan.

Beliau juga berkata, Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) satu-satunya agensi kerajaan negeri yang mewujudkan jawatankuasa syariah.

Katanya segala perkara berkaitan pengurusan dan perancangan di PKINK terlebih merujuk kepada jawatankuasa sebelum dapat dilaksanakan. – HARAKAHDAILY 17/7/2019