Parlimen ‘terima’ protes kedua dari warga nelayan

KUALA LUMPUR: Kira-kira 500 nelayan dari Pantai Timur dan Utara tanah air berdemontrasi secara aman bagi mendesak kerajaan menyelesaikan beberapa permasalahan dihadapi golongan tersebut.
 
Antara permasalahan yang dikemukakan nelayan-nelayan tersebut adalah penyalahgunaan lesen-lesen terpakai Vesel Zon C2 yang mana terdapat rakyat Malaysia menyewa lesen tersebut kepada nelayan asing dari Vietnam.
 
Selain itu, mereka juga memohon agar kerajaan menyelesaikan penggunaan peralatan haram oleh nelayan asing yang mana turut menjejaskan eko sistem hidupan laut seperti terumbu karang dan habitat pembiakan ikan.
 
Memorandum pencerobohan nelayan asing Vietnam dan Myanmar itu diserahkan kepada Ahli-Ahli Parlimen Pembangkang yang diwakili Ahli Parlimen Marang, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.
 
Beliau yang juga Presiden PAS berkata, situasi yang dialami nelayan hari ini memerlukan tindakan tegas dari pihak kerajaan terhadap nelayan-nelayan asing yang menceroboh perairan laut Malaysia.
 
Gesanya, sekiranya kerajaan tidak mampu untuk bertegas dengan penceroboh, kerajaan perlu berkerjasama dengan negara-negara jiran untuk bertindak secara bersama dalam mengatasi permasalahan ini.
 
“(Situasi ini) memerlukan kerajaan bertindak dengan cara yang tegas. Kalau kerajaan tak mampu, mesti kerajaan perlu bekerjasama dengan negara-negra yang jiran untuk bertindak secara bersama dalam menghadapi masalah ini.
 
“Bukan sahaja demi nelayan, termasuk demi alam sekitar yang diancam itu,” ujarnya kepada pemberita ketika ditemui di hadapan bangunan Parlimen, pagi semalam.
 
Tambah beliau, pencerobohan nelayan asing tersebut bukan sahaja merosakkan peralatan-peralatan nelayan tempatan, malah turut memberi kesan negatif kepada pembiakan benih-benih ikan.
 
Kemudiannya, beberapa wakil nelayan turut menyerahkan memorandum serta mengadakan pertemuan mengenai situasi tersebut bersama Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Dato’ Salahuddin Ayub.
 
Hasil daripada perbincangan bersama kementerian tersebut, Salahuddin meminta diberikan beliau masa tiga bulan untuk merangka penyelesaian terhadap masalah yang dihadapi nelayan. – HARAKAHDAILY 17/7/2019
Advertisement