Pelawaan kamu, kami tak selera

DEWAN Ulamak PAS Negeri Selangor (DUPNS) menyokong penuh telahan ringkas Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang menolak pelawaan Pakatan Harapan (PH) untuk PAS menyertai gabungan “songsang” itu.

Advertisement

“Tidak selera” demikian respons balas Tuan Guru dan kami melihat ia satu kenyataan tegas murabbi ummah itu menolak pelawaan PH tatkala kita dapat melihat bahawa PH sangat berantakan.

Selepas Dato Husam Musa, Dato’ Mahfuz Omar melutut merayu PAS menyertai PH yang didominasi DAP itu, Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Mukhriz Mahathir pula terhegeh-hegeh mempelawa PAS pula.

PH sudah lupa, apa fitnah dan perbuatan khianat yang mereka lakukan kepada PAS khasnya dan rakyat amnya. Masakan PAS boleh menerima satu gabungan yang di dalamnya penuh cacamarba, wujudkan parti yang sangat pesimis terhadap Islam iaitu DAP yang mendominasi PH.

Lebih dari itu, PH juga tidak malu berbalah, fitnah memfitnah, skandal  sesama mereka dan juga mereka tidak malu berbalah angkara adegan “semburit” dalam usaha jatuh menjatuhkan antara kem-kem dalam PH dan parti di dalamnya.

Kami juga tidak selera dengan PH kerana PH mengkhianati janjinya kepada rakyat dalam manifesto mereka, berbohong dengan rakyat mengenai isu GST dan hutang negara, khianat kepada Islam, mengiktiraf LGBT, menggalakkan kemungkaran, berleluasanya golongan yang anti Islam dan dibiarkan bebas bercakap, miliki menteri yang cakap tak serupa bikin, malah biadap kepada Islam.

Justeru, kami menegaskan  tetap bersama aspirasi ummah segaris apa yang diucapkan Tuan Guru Presiden dalam Muktamar PAS ke-65 “Islam Memimpin Perpaduan” bersama bertaawun dengan Umno-BN dan Gagasan Sejatera  bagi mendepani PRU15 akan datang.

Kekuatan ummah yang sedang digarab kini amat dicemburui PH dan kami menganggap pelawaan kalian hanya usaha memecahkan kesepakatan ummah yang sedang terbina kini.

Kami sekali lagi menegaskan bahawa “kami juga tidak selera” dengan PH, usah kamu terhegeh-hegeh lagi.

Islam Memimpin Perpaduan

USTAZ MOHAMMAD IBRAHIM
Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Negeri Selangor
17 Julai 2019 – HARAKAHDAILY 17/7/2019