Guna daftar pemilih automatik untuk PRN S’wak

PAS Sarawak mengalu-alukan Parlimen Malaysia meluluskan Rang Undang-undang (Pindaan) 2019, di Dewan Rakyat pada hari Selasa lalu dengan membenarkan rakyat mendaftar secara automatik apabila mereka mencapai usia 18 tahun. Parlimen Malaysia pada Selasa juga meluluskan cadangan pindaan terhadap Rang Undang-Undang Perlembagaan bagi menurunkan had umur layak mengundi daripada 21 kepada 18 tahun.
 
PAS Sarawak juga yakin dengan kemudahan teknologi hari ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mudah memuat naik data pendaftar dari data Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dengan cepat dan SPR boleh meningkatkan ketepatan pengundi pada masa pemilihan.
 
Selama ini, data pengundi diuruskan oleh SPR sebagai badan bebas dalam pilihan raya, yang bertanggungjawab sepenuhnya untuk memastikan daftar itu tepat, telus, lengkap, bersih dan terkini.
 
Dengan menggunakan data secara langsung atau dalam talian dari JPN, ia akan memudahkan tugas SPR selain menentukan lokasi tempat mengundi dengan menggunakan alamat dalam MyKad yang dikeluarkan dari JPN.
 
Ini akan memudahkan warganegara yang telah mencapai umur 18 tahun dan ke atas, boleh mengundi berdasarkan alamat di MyKad dan apa yang penting sekarang bahawa mana-mana pengundi yang berpindah atau bekerja di tempat-tempat baru harus mengemaskin alamat mereka dengan JPN untuk memudahkan SPR mengemaskini tempat pengundian mereka nanti.
 
Data terkini dari JPN akan membolehkan SPR mengemaskini alamat pengundi dan mereka hanya perlu melakukan beberapa perkara teknikal untuk memudahkan pengundi ketika datang untuk mengundi kemudian.
 
Kami harap kerajaan Sarawak akan berpeluang menggunakan kemudahan ini apabila tiba pilihan raya umum ke-12. Hanya setahun lebih kepada SPR untuk menyediakan dan mengemaskini data terkini bagi memberi peluang kepada mereka yang berumur 18 tahun ke atas untuk mengundi.
 
Kerjasama dengan SPR dan JPN untuk memberi peluang kepada pengundi 18 tahun ke atas untuk mengundi dalam masa terdekat amat dihargai.
 
JOFRI JARAIEE
Pesuruhjaya 
PAS Negeri Sarawak – HARAKAHDAILY 18/7/2019
Advertisement