Mual politik angkara Anwar-Azmin berbalah

KUALA LUMPUR: Perbalahan antara Presiden PKR, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Timbalannya, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berhubung kes video ‘hanyir’ memualkan rakyat.
 
Ketua Dewan Pemuda IKATAN, Shahir Adnan berkata, rakyat semakin hilang kepercayaan kepada kepimpinan PH, tambahan lagi banyak manifesto yang belum dapat ditunaikan kerajaan.
 
“Di saat Ringgit makin lemah dan pelabur asing saban hari keluar dari Malaysia, keadaan politik sebegini menyebabkan rakyat mual dan muak dengan tiada pimpinan berkualiti daripada Menteri PH. Akhirnya, ekonomi negara makin parah dan rakyat makin tertekan.
 
“Dewan Pemuda IKATAN Malaysia menggesa kerajaan memberikan fokus kepada masalah rakyat dan ekonomi negara, daripada bergaduh berebut tempat menjadi pengganti Tun Dr Mahathir selaku Perdana Menteri ke-7,” katanya kepada Harakahdaily.
 
Anwar semalam ketika disoal media di lobi parlimen menyatakan Azmin, perlu melepaskan jawatan kerajaan sekiranya video berkenaan tulen.
 
Membidas kenyataan Anwar itu, Azmin yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi menjawab ringkas pertanyaan media di lobi Parlimen meminta Ahli Parlimen Port Dickson supaya mencerminkan diri terlebih dahulu dan bermuhasabah.
 
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan pula berkata terpulang kepada mana-mana pemimpin yang sedang disiasat untuk bercuti atau meneruskan tugas selagi belum dibuktikan bersalah. – HARAKAHDAILY 18/7/2019
Advertisement