Sabah: PAS sokong usul sempadan baru pilihan raya

KUALA LUMPUR: Usul berhubung penambahan 13 kerusi Dun Sabah disokong Ahli Parlimen PAS yang turut mengambil bahagian dalam perbahasan mengenainya di Dewan Rakyat, di sini kelmarin.
 
Walaupun PAS bersetuju dengan usul yang dibentangkan, namun terdapat beberapa cadangan penambahbaikan dilontarkan demi manfaat dan kebaikan rakyat Negeri Di Bawah Bayu itu.
 
Awang Hashim (PAS – Pendang) dalam perbahasannya mencadangkan agar meneliti secara terperinci Parlimen Kinabatangan yang dilihat boleh ditambah satu hingga dua kerusi lagi.
 
Katanya, kawasan tersebut sangat luas melebihi sebuah negeri Johor, dan pastinya membebankan Ahli Parlimen dan juga Adun dalamnya; melihat kepada faktor pengundi, pemilih, pola penempatan, kepadatan dan komposisi penduduk, serta bentuk muka bumi
 
“Jadi, kita perlu melihat walaupun kita bersetuju untuk menyokong. Akan tetapi, kita kena melihat kesan kepada mereka yang menjadi Ahli Parlimen atau Adun. 
 
“Kalau kata Adun pun sudah boleh sembahyang jamak, jadi teruklah mereka yang dipilih itu hendak (menjalankan tanggungjawab mereka),” ujarnya membahaskan RUU Kajian Semula Persempadanan Mengenai Syor-Syor Yang Dicadangkan Bagi Bahagian-Bahagian Pilihan Raya Persekutuan dan Negeri di dalam Negeri Sabah kali keenam tahun 2017, di Dewan Rakyat, semalam. 
 
Manakala Siti Zailah Mohd Yusoff (PAS – Rantau Panjang) membangkitkan hal sama iaitu mengenai pertambahan kerusi di peringkat Parlimen bukan sahaja di Sabah dan Sarawak, malah termasuk juga di negeri-negeri Semenanjung Malaysia.
 
Usul merangkumi pertambahan 13 kerusi Dun Sabah yang dibentangkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bagi bacaan kali kedua itu diluluskan selepas mendapat sokongan 158 daripada 222 Ahli Parlimen, menerusi undi belah bahagi. – HARAKAHDAILY 19/7/2019
Advertisement