Kes rogol: Ameerah Perak desak Exco direhatkan

IPOH: Pengarah Ameerah Dewan Muslimat PAS Perak, Aslina Kholid mendesak pihak berkuasa melaksanakan siasatan secara telus kes dakwaan Exco Kerajaan Negeri Perak merogol pembantu rumah warga Indonesia.
 
Kemuka beliau, hal tersebut bukan sahaja demi keadilan kedua pihak, tetapi juga melibatkan kebajikan dan keselamatan wanita di Malaysia termasuk warga asing yang bekerja atau melancong di negara ini. 
 
“Ketelusan dalam siasatan ke atas kes berprofil tinggi seperti ini terutamanya melibatkan rakyat bukan warganegara akan membuktikan Malaysia bersungguh-sungguh menjaga keselamatan dan kebajikan wanita yang tinggal di Malaysia,” gesanya.
 
Tegasnya, bagi kembalikan keyakinan bahawa Malaysia adalah negara yang selamat sebagai destinasi pekerjaan dan perlancongan, pihak berkuasa sewajarnya dilihat melaksanakan keadilan tanpa sikap double standard.
 
Kerajaan Negeri Perak juga desaknya, hendaklah merehatkan Adun tersebut dari tugasan selaku Exco sehingga siasatan menyeluruh dijalankan dengan telus tanpa sebarang campur tangan eksekutif. 
 
Beliau berharap agar keadilan diberikan ke atas mangsa tanpa menyebelahi pesalah setelah siasatan dan perbicaraan mendapatinya bersalah biarpun beliau memegang posisi penting dalam kerajaan. 
 
Hal tersebut ujarnya, sebagai manifestasi menjunjung kedaulatan undang-undang dan berharap kes ini dijadikan iktibar kepada pemimpin pelbagai peringkat.
 
“(Ini) bagi membuktikan Malaysia mempunyai pemimpin berakhlak dan berintegriti bagi memperoleh redha Allah dalam pimpinan yang dipertanggung jawabkan,” katanya. – HARAKAHDAILY 19/7/2019
Advertisement