Cinta Kelantan untuk Marawi

KRISIS Umat Islam Marawi kini menjangkau usia dua tahun. Pertembungan antara angkatan bersenjata Filipina dengan kumpulan pejuang pro-Daesh ini berlangsung sengit selama 5 bulan bermula 23 Mei 2017 sehingga 23 Oktober 2017. Secara asas diketahui pertempuran ini meragut lebih 1,100 nyawa dan menyebabkan lebih 350,000 penduduk terpaksa meninggalkan kediaman masing-masing hingga digelar Pelarian Dalam Negara (Internal Displaced Person).

Advertisement

Perang ini bermula apabila Kerajaan Filipina cuba menangkap Isnilon Haspilon iaitu seorang pemimpin yang dikaitkan mengetuai kumpulan Abu Sayyaf dan juga Daesh Asia Tenggara. Ia mengakibatkan serangan balas oleh kumpulan militia Maute yang berpangkalan di Marawi. Konflik ini selain menyebabkan ratusan ribu rakyat menjadi pelarian, ia turut mengakibatkan krisis bekalan makanan, ubatan, putusnya bekalan air dan elektrik, kemusnahan bangunan, fasiliti awam dan terperangkapnya warga tua serta kanak kanak dalam kawasan bandar.

Bumi Mindanao tidak pernah surut daripada hujan peluru dan bom. Bangsa Moro sendiri telah berperang dengan penjajah lebih 400 tahun bermula zaman Sepanyol, Amerika Syarikat dan Jepun sebelum berdepan akhirnya dengan Kerajaan Filipina yang dilihat mewakili Kristian. Dasar kolonialisasi serta keganasan ke atas umat Islam Moro oleh kerajaan Filipina telah menyebabkan pemberontakan bersenjata melebihi 48 tahun usianya.

Filipina berdepan juga dengan pemberontakan oleh kumpulan yang bukan dari aliran atau fahaman Islam iaitu Tentera Rakyat Baru yang merupakan cabang tentera Parti Komunis Filipina.

Majoriti rakyat negara ini menggelarkan perang tersebut sebagai The Battle of Marawi ataupun dalam bahasa tempatan disebut Labanan sa Marawi. Terkadang juga dipanggil The Marawi Siege (Pagkubkob sa Marawi) atau The Marawi Crisis (Krisis sa Marawi). Pusat letusan perang adalah di Bandar Marawi dalam wilayah Lanao del Sur yang merupakan satu provinsi di Filipina, terletak di Wilayah Autonomi Bangsamoro di Mindanao Muslim. Ibukota ini bersempadan dengan Lanao del Norte di utara, Bukidnon di timur, dan Maguindanao serta Cotabato di selatan.

Pihak Kerajaan Filipina mendapat sokongan daripada MILF selain beberapa buah negara kuasa besar yang turut menyumbangkan kekuatan teknikal, peralatan perang, ubat ubatan serta perisikan seperti Amerika Syarikat, Australia, Brunei, China, Indonesia, Israel, Rusia dan juga Malaysia sendiri. Manakala puak pemberontak diwakili oleh kumpulan Abu Sayyaf, Maute, Pejuang Pembebasan Islam Bangsamoro dan Daesh Asia Tenggara. Kumpulan gabungan ini diketuai oleh Isnilon Hapilon, yang merupakan Amir Wilayah dan juga komander Abu Sayyaf, Omar Maute pula mengetuai puak militia Maute, dibantu oleh Mahmud Ahmad yang bertugas sebagai timbalan ketua dan seorang lagi tokoh adalah Amin Bacu yang merupakan Senior Komander. Mereka semua dikatakan telah mati dalam serangan oleh tentera kerajaan yang bertalu talu melalui infantri darat dan juga serangan tentera udara.

Pihak kerajaan diketuai oleh Presiden Rodrigo Duterte yang dibantu oleh Delfin Lorenzana iaitu Setiausaha Pertahanan, General Eduardo Ano, Ketua Angkatan Tentera Nasional, Leftenan General Carlito Galvez Jr iaitu Ketua Komander Angkatan Tentera bagi Wilayah Barat Mindanao dan puluhan lagi pegawai tentera yang setia. Mereka telah mengerahkan 3,000 orang soldadu bagi mengepung Marawi pada bulan Jun 2017 dan menambah bilangan tersebut sehingga 6,500 pada bulan September tahun yang sama bagi memerangi lebih 1,000 orang tentera militia.

Pada awalnya pihak militia dengan kekuatan 500 orang anggota telah menyerang Kem Ranao dan berjaya menguasai beberapa bangunan penting termasuk Marawi City Hall, Universiti Negeri Mindanao, hospital dan juga penjara negeri. Selain itu jalan jalan utama telah turut dikuasai mereka dan seterusnya militia bertindak membakar St. Mary’s Cathedral, Ninoy Aquino School and Dansalan College dan menculik beberapa orang paderi sebagai tebusan.

Pihak tentera mendakwa mereka ini ada antaranya penduduk luar yang sudah lama menetap di Marawi dan menyertai kumpulan militia bagi mengibarkan bendara Daesh di Pejabat Pentadbiran Lanao del Sur dan mengumumkan pemerintahan baru mereka di wilayah ini.

Namun perjuangan mereka selama lima bulan berakhir pada 17 Oktober 2017 apabila Omar Maute dan Isnilon Hapilon dilaporkan mati terbunuh. Presiden Duterte kemudiannya mengumumkan Marawi telah bebas daripada cengkaman pengganas. Setiausaha Pertahanan pada 23 Oktober 2017 telah sekali lagi mengumumkan secara rasmi bahawa peperangan selama lima bulan tersebut telah tamat.

Ya. Perang lima bulan tamat. Tetapi kesan teruk dan kemusnahan Marawi baru sahaja bermula. Ratusan ribu rakyat menjadi pengungsi di bumi mereka sendiri. Rumah kediaman yang menjadi tempat perlindungan mereka selama ini hancur musnah, runtuh dibom, ada yang menjadi debu dibawa angin. Bangunan dan kemudahan awam rosak teruk, tidak terkecuali masjid masjid serta sekolah semuanya rebah menyembah tanah.

Anak anak kecil terbiar lapar, tiada makanan dan kekurangan zat. Susu dan bekalan asas yang menjadi keperluan harian mereka tidak tersedia seperti sebelumnya. Minum air sungai dan parit sahaja selepas bekalan air mentah terputus dan loji-loji bekalan air musnah dibom. Pendek kata kelaparan dan kebuluran mulai menjadi rutin harian mereka.

Begitu juga soal pendidikan tempatan yang tidak dapat diteruskan setelah semua bangunan sekolah, kolej dan seumpamanya telah rosak dibedil. Ini menjadikan anak anak Marawi ketinggalan dalam proses pendidikan serta pelajaran mereka. Kadar buta huruf dan keciciran mulai membesar. Ia menjadi ancaman kepada masa hadapan bangsa ini.

Satu pakatan dan kerjasama antarabangsa dalam kalangan negara Islam dan badan badan sukarelawan wajib digerakkan sentiasa untuk membantu negeri umat Islam ini. Usaha kerajaan Terengganu dan Yayasan Amal Malaysia menganjurkan International Conference on Marawi Mindanao di Duyong Marina & Resort bermula 19-22 Julai 2019 ini adalah antara langkah yang amat baik dalam memberikan fokus serta keprihatinan kepada masalah ummah di sana.

Lagi pula, satu pasukan yang dianggotai oleh sukarelawan Amal daripada cawangan negeri Kelantan dan juga Perlis bakal mengunjugi Marawi dalam sambutan Hari Raya Korban tahun ini bagi menyantuni fakir miskin di sana dengan penyampaian sedekah, wakaf Al Quran dan juga sembelihan daging korban, insya-Allah. (bersambung ke Siri 2) – HARAKAHDAILY 20/7/2019

Penulis ialah Sukarelawan Amal.