Hari Bomba: Kejutan makan durian bersama PAS Lumut

LUMUT: Kehadiran pimpinan PAS Kawasan Lumut menjadi kejutan kepada anggota bomba yang bertugas Balai Bomba dan Penyelamat Manjung, di sini pagi semalam.

Advertisement

Mereka tidak menyangka lawatan diketuai Naib Yang DiPertua PAS Lumut, Ustaz Mohamad Che Ghani sempena Sambutan Hari Bomba Sedunia itu diraikan dengan hidangan jamuan durian.

Kunjungan yang semakin mengeratkan hubungan kedua pihak ini berlaku dalam tempoh tidak kurang jauh dari kejutan ‘ambush’ ARC Perak pada Ramadan tiga bulan lalu.

“Kami amat terharu dengan kunjungan hormat ini. Pertama kali kami dirai dengan makan durian bersama,” ujar Pegawai Bomba Kanan II, Mohamed Nasir Shapiai.

Sementara itu, Ustaz Mohamad merakamkan penghargaan buat seluruh anggota bomba sempena sambutan itu atas jasa pengorbanan khidmat bakti mereka kepada rakyat dan negara.

Katanya, anggota bomba dikenali masyarakat sangat komited dan sentiasa bersiap siaga dengan tugas tanpa mengira waktu demi keselamatan dan kesejahteraan rakyat.

Sehubungan itu katanya, pihak PAS Lumut mengadakan kunjungan tersebut sebagai menzahirkan pengiktirafan dan menghargai pasukan tersebut sempena sambutan itu. – HARAKAHDAILY 21/7/2019IMG 20190721 WA0004