Makan buah tempatan sampai kenyang di HPPNK

KOTA BHARU: Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Negeri Kelantan (HPPNK) yang bermula 31 Julai hingga 4 Ogos ini mempunyai tarikan iaitu pesta makan buah-buahan tempatan sampai kenyang.

Advertisement

Majlis yang akan dirasmikan oleh Menteri Besar, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob pada 1 Ogos itu diadakan Taman Rehlah Pantai Bisikan Bayu, Semerak, Pasir Putih dekat sini.

Paling istimewa ialah pesta makan buah-buahan tempatan yang bermusim seperti durian, manggis, dokong dan sebagainya yang dikenakan bayaran RM7 kepada 500 pengunjung pertama setiap hari.

Demikian menurut Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar negeri, Ustaz Tuan Saripudin Tuan Ismail.

“Kali ini yang paling istimewa ialah pesta makan buah-buahan tempatan setiap hari bermula jam dua hingga enam petang, percuma kanak-kanak berumur bawah 12 tahun.

“Selain itu, banyak lagi acara lain bagi menarik kedatangan pengunjung seperti pertandingan memancing, cabutan bertuah lembu hadiahnya, perlawanan bola sepak pantai dan ayam sorak,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/7/2019