Latihan pertolongan cemas Briged Muslimat Perak

TELUK INTAN: Briged Muslimat PAS Kawasan Teluk Intan telah menganjurkan program Latihan Asas Pertolongan Cemas di Markas Tarbiyah PAS Kampung Padang Tembak, di sini semalam.
 
Penganjurannya terinspirasi dari ketokohan Nusaibah binti Ka’ab yang bertindak selaku jururawat membantu tentera Islam di medan Uhud dan mempertahankan Rasulullah S.A.W.
 
Program anjuran bersama Briged Muslimat PAS Negeri Perak ini juga telah dihadiri peserta dari kawasan lain iaitu Bagan Datuk, Tapah, Pasir Salak, Tanjung Malim, Lumut dan Kuala Kangsar.
 
Ketua Briged Muslimat Teluk Intan, Irma Hafiza Ansori berkata, program bertujuan menyiapkan anggota Briged dengan kemahiran asas sebagai persediaan untuk berkhidmat di tengah masyarakat.
 
Peserta telah didedahkan dengan latihan asas pertolongan cemas, kaedah rawatan pendarahan akibat luka kecil, kepatahan dan melecur, selain panduan masalah tercekik, pengsan dan CPR.
 
Teori dan bimbingan praktikal kepada para peserta siri latihan ini telah diberikan oleh wakil daripada Kor Medik Jabatan Amal Malaysia Negeri Perak, Mohd Nor Zakry Arif Zubir.
 
Perasmian telah disempurnakan Ketua Muslimat PAS Teluk Intan, Robi’atun Mohd Abas yang memuji usaha mengupayakan jentera menerusi peranan Briged Muslimat.
 
“Sebagai salah satu entiti Dewan Muslimat, maka perlulah Briged Muslimat sentiasa sedia menggalas amanah khususnya membantu menjaga keselamatan.
 
“Sebagai ikon serikandi Islam, amat penting menjaga akhlak, penampilan dan muamalat agar dilihat hebat dan mantap serta mampu menarik lebih ramai wanita muda merapati PAS,” ujarnya turut menyempurnakan pelancaran Briged Muslimat Teluk Intan.
 
Hadir sama pada program tersebut adalah Setiausaha Briged Muslimat Perak, Siti Fairuz Abdul. – HARAKAHDAILY 21/7/2019
IMG 20190721 WA0041
Advertisement