PAS Kedah hargai Dr Ahmad Fakhruddin

ALOR SETAR: PAS Kedah mengucapkan sekalung penghargaan kepada Dr Ahmad Fakhruddin Fakhruazi di atas kecemerlangan beliau sebagai Pesuruhjaya PAS negeri selama dua sesi iaitu sejak 2015 sehingga 2019.

Advertisement

Setiausaha PAS negeri, Ustaz Musaddak Ahmad berkata, Dr. Ahmad Fakhruddin diberi amanah sebagai pesuruhjaya ketika di tengah arus pergolakan dalaman yang bermula dari peringkat pusat sehingga ke negeri, kawasan dan cawangan selain beberapa tokoh penting dan berpengalaman meninggalkan parti.

“Beliau berjaya membuktikan bahawa kemelut dalaman itu mampu diatasi dengan jayanya bersama kepimpinan baharu yang lebih berwibawa berjaya dibentuk.

“Kombinasi tiga Timbalan Pesuruhjaya iaitu  Dato’ Dr Mohd Hayati Othman, Dato’ Najmi Ahmad dan  Muhammad Sanusi Md Noor banyak membantu dalam pelbagai perkara,” ujarnya.

Kata beliau lagi, usaha bekas pesuruhjaya itu mengatur lawatan berulang kali ke akar umbi untuk mengenal pasti permasalahan serta merungkai dan mencari penyelesaian sehingga akhirnya 15 kawasan di Kedah bergerak dengan mantapnya.

Hasilnya pada PRU lalu  PAS berjaya memperolehi 15 dari 36 kerusi Dun walaupun bertanding secara bersendirian ketika itu. Jumlah berkenaan hampir-hampir membuktikan PAS Kedah mampu membentuk kerajaan negeri.

“Kejayaan menyiapkan bangunan pentadbiran Kompleks PAS Kedah sehingga tiga aras juga di bawah kepimpinan beliau selain berjaya mengubah lanskap kompleks terbabit menjadi lebih baik dan membolehkan Muktamar Tahunan PAS Pusat kali ke 63 berlangsung di situ,” kata Ustaz Musaddak lagi.

Antara lain juga, tegas beliau, Dr Ahmad Fakhruddin banyak memberi penumpuan kepada program kebajikan rakyat dan menyentuh hati mereka melalui pelbagai isu yang diangkat dan didepani sehingga sokongan terhadap PAS naik mendadak dalam tempoh empat tahun terakhir ini.

Bekas Pesuruhjaya PAS Kedah itu kini diberi amanah sebagai sebagai Timbalan Pesuruhjaya 2 setelah jawatan tersebut dijawat oleh Ustaz Ahmad Yahaya untuk sesi kali ini. – HARAKAHDAILY 21/7/2019