Bela nasib penunggang motosikal

DEWAN Pemuda PAS Wilayah Persekutuan menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga pasangan suami isteri yang maut akibat kemalangan di lorong motosikal Lebuh Raya Persekutuan pada pagi Selasa, 23 Julai 2019.

Advertisement

Kami turut mendoakan dua lagi penunggang motosikal yang parah dikurniakan kesembuhan yang segera.

Rentetan daripada tragedi ini, kami menyeru agar pihak Jabatan Kerja Raya yang bertanggungjawab mengawal selia Lebuh Raya Persekutuan agar dapat bertindak segera meneliti aspek tahap keselamatan lorong motosikal di lebuh raya tersebut.

Dilema pengguna lorong khas motosikal Lebuh Raya Persekutuan bukanlah perkara baru. Setiap hari mereka terpaksa bergadai nyawa  ketika menggunakan laluan yang kurang selamat itu.

Isu lorong yang sempit, permukaan jalan yang berlubang, lencongan yang mengelirukan, banjir kilat, terowong yang gelap, laluan terpencil yang terdedah kepada risiko jenayah antara faktor utama yang menyebabkan adakala mereka lebih rela disaman polis atas kesalahan menggunakan laluan utama lebuh raya.

Mereka sanggup meredah kesesakan bersama kenderaan lain daripada mengambil risiko membahayakan diri di laluan motosikal.

Statistik Jabatan Pengangkutan Jalan menunjukkan, bilangan motosikal setakat Februari 2019 sebanyak 13.8 juta moto iaitu 45.85% daripada keseluruhan kenderaan di Malaysia. Wilayah Persekutuan mencatatkan bilangan motosikal sebanyak 1.95 juta iaitu negeri paling banyak diikuti oleh Johor dan Selangor.

Statistik kematian pengguna jalan raya bagi kategori motosikal untuk tempoh 10 tahun (2009 hingga Mac 2019) pula menunjukkan sebanyak 43,031 kematian berbanding pengguna motokar sebanyak 13,876 kematian. Secara kesimpulannya, data statistik menunjukkan 62% kematian pengguna jalan raya merupakan penunggang dan pembonceng motosikal.

Justeru, Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan menggesa pihak kerajaan khususnya Kementerian Kerja Raya dapat bertindak segera menyelesaikan dilema yang dihadapi oleh pengguna  laluan motosikal Lebuh Raya Persekutuan dengan mengambil kira kajian yang sudah dilaksanakan oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS) pada tahun 2016.

Sesungguhnya nyawa insan tidak ternilai harganya dengan wang ringgit.

Nasib penunggang motosikal yang majoritinya daripada kalangan anak muda amatlah dekat di hati Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan.

MUHAMMAD RASHIDI ABDUL RAZAK
Ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan
23 Julai 2019 – HARAKAHDAILY 23/7/2019