Kenapa tunggu lama di jabatan kecemasan?

LAJNAH Kesihatan PAS (LKP) ingin menzahirkan keprihatinan terhadap tempoh menunggu yang lama di Jabatan Kecemasan hospital-hospital kerajaan, sebagaimana Laporan Ketua Audit Negara 2018 Siri 1.

Advertisement

Laporan tersebut mendapati 25.5% – 41.3% pesakit terpaksa menunggu selama 4 hingga 6 jam sebelum menerima rawatan di Jabatan Kecemasan empat buah hospital yang diaudit. Selain kekurangan perjawatan yang ketara, iaitu hanya 11.6% – 53.1% perjawatan diisi berbanding perjawatan diperlukan, Jabatan Kecemasan juga berhadapan masalah peralatan perubatan yang tidak mencukupi. Hanya 50.9% peralatan perubatan disediakan berbanding keperluan sebenar berdasarkan Emergency Medicine and Trauma Service Policy.

LKP juga memandang serius luahan hati Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Dato’ Dr Noor Hisham Abdullah mengenai keadaan sebenar Kementerian Kesihatan Malaysia yang kekurangan peruntukan, kekurangan kakitangan, overworked, overstretched, dan pada masa yang sama berhadapan dengan lambakan pesakit di fasiliti KKM. Namun begitu, LKP yakin dengan keazaman seluruh warga KKM untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan demi kesejahteraan rakyat, walaupun berhadapan dengan pelbagai kekurangan.

LKP percaya dapatan daripada audit ini adalah hanya sebahagian daripada permasalahan yang lebih besar, lantas ianya memerlukan kajian yang teliti dan perancangan yang rapi bagi memastikan tindakbalas daripada audit ini bukanlah hanya sekadar ‘melepaskan batuk di tangga’.

Sehubungan itu, LKP ingin menyentuh beberapa isu yang perlu dipertimbangkan oleh pihak kerajaan:

1. Meningkatkan peruntukan bagi sektor kesihatan

Sehingga tahun 2016, Malaysia hanya membelanjakan 4.2% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk sektor kesihatan. Purata perbelanjaan kesihatan negara-negara lain di seluruh dunia adalah pada tahap 6.65% daripada KDNK. Ini meletakkan negara kita di tangga ke 149 berbanding negara lain. Hal ini menunjukkan betapa kerdilnya peruntukan yang dibelanjakan untuk perubatan dan kesihatan di Malaysia. Sebagai sebuah negara berpendapatan sederhana, Malaysia seharusnya membelanjakan 6 – 7% daripada KDNK untuk sektor kesihatan, sebagaimana yang dicadangkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, serta mendapat sokongan dari pihak World Health Organisation sendiri. Oleh itu, kerajaan perlulah kreatif dan bijak dalam menyalurkan lebih banyak dana dan peruntukan kepada sektor kesihatan, terutamanya melalui Kementerian Kesihatan Malaysia. Penambahan peruntukan ini penting bagi meningkatkan jumlah perjawatan Pegawai Perubatan dan kakitangan sokongan, serta menyediakan kelengkapan perubatan seoptimum mungkin. Produktiviti negara bergantung kepada sistem kesihatan yang cukup “zatnya”.  

2. Merapatkan jurang perbezaan sektor kesihatan awam dan swasta

Perlu disedari juga bahawa hanya separuh daripada perbelanjaan kesihatan tersebut digunakan bagi hospital dan klinik kerajaan, manakala separuh lagi perbelanjaan berlaku di sektor swasta. Walaubagaimanapun, hanya satu pertiga daripada kemasukan pesakit ke hospital berlaku di sektor swasta. Secara kasarnya, ini bermakna perbelanjaan untuk seorang pesakit di hospital swasta boleh membiayai sekurang-kurangnya dua orang pesakit di hospital kerajaan. Anggaran ini belum mengambil kira bilangan pesakit di klinik pakar, pesakit yang menerima rawatan harian serta pesakit yang  mendapatkan rawatan di klinik-klinik kesihatan, yang mana jumlahnya ratusan kali ganda melebihi sektor swasta. Oleh itu, menjadi tanggungjawab yang besar kepada kerajaan hari ini dalam menyeimbangkan kembali beban pesakit dan kos di antara sektor awam dan swasta. Kerjasama yang lebih erat perlu diwujudkan dan pemantauan adalah penting bagi memastikan insurans perubatan tidak disalahgunakan. Lebih-lebih lagi memandangkan kerajaan juga mempunyai pegangan saham yang signifikan di hospital swasta, jika kolaborasi gagal diwujudkan maka kesihatan rakyat akan tergadai dan jurang sosioekonomi akan semakin meruncing. Rakyat yang miskin akan semakin tenat, manakala mereka yang berpendapatan tinggi mampu keluar masuk hospital bertaraf 5 bintang walau hanya menghidap demam selsema.

3. Memperkasa konsep pencegahan penyakit

Laporan audit juga menyebut bahawa Bed Occupancy Rate (BOR) di keempat-empat hospital berkenaan telah melebihi 80%, yakni bilangan katil sedia ada sudah tidak mampu menampung jumlah pesakit. Ini menyebabkan ramai pesakit terperangkap di Jabatan Kecemasan serta tidak dapat dimasukkan ke wad dalam tempoh yang sepatutnya.

Pertambahan jumlah pesakit yang perlu dimasukkan ke hospital menunjukkan kepincangan perkhidmatan primer, iaitu kegagalan klinik-klinik kesihatan yang seharusnya berperanan mendidik dan merawat pesakit pada peringkat awal penyakit. Peranan perkhidmatan primer dalam pencegahan penyakit, bagi mengelakkan kemasukan ke hospital yang pastinya melibatkan kos yang tinggi mahupun komplikasi, pada hakikatnya adalah sangat penting.

Justeru, sudah tiba masanya kerajaan benar-benar komited dalam memperkasa klinik-klinik kesihatan, dengan meletakkan keutamaan dari segi peruntukan dan sumber manusia bagi memastikan program pencegahan dan rawatan yang sistematik serta efektif berjalan di peringkat individu mahupun komuniti.

Barangkali sudah tiba masanya klinik kesihatan dipisahkan daripada Bahagian Kesihatan Awam bagi memberikan lebih autonomi kepada mereka untuk menyediakan rawatan berterusan yang tersendiri, sesuai dengan keperluan yang berbeza bagi setiap pesakit. Manakala pakar-pakar kesihatan awam perlu menggalas tugas yang lebih besar dalam mencari penyelesaian kepada permasalahan health financing, di samping benar-benar melaksanakan polisi pencegahan penyakit.      

4. Membina rakyat Malaysia cakna kesihatan

Semakan audit juga mendapati bahawa di antara 8.1% – 17.9% pesakit yang mendapatkan rawatan di Jabatan Kecemasan hospital adalah bukan kes-kes kecemasan. Pelbagai faktor menyebabkan perkara ini berlaku. Tidak mustahil bahawa waktu pejabat atau kekangan logistik menyebabkan pesakit tidak berupaya mendapatkan rawatan di klinik kesihatan, walaupun perkhidmatan telah dilanjutkan sehingga jam 9 malam. Namun, faktor yang lebih penting adalah health literacy, ataupun keupayaan individu untuk mendapatkan dan memproses maklumat, serta membuat keputusan berkaitan kesihatan mereka berdasarkan maklumat tersebut. Menjadi tanggungjawab yang paling besar bagi kerajaan hari ini untuk menanam ilmu serta kesedaran kepada rakyat Malaysia agar mengubah persepsi mereka terhadap penjagaan kesihatan dan penyakit. Pencegahan adalah mudah dan murah, sementara rawatan hospital adalah mahal lagi merumitkan. Pendidikan dan promosi kesihatan perlu dipergiat serta disampaikan dengan berkesan kepada segenap lapisan masyarakat. Setiap rakyat Malaysia perlu diperkasa untuk memikul tanggungjawab bersama dalam menjaga kesihatan diri serta komuniti di sekeliling mereka.

Secara tuntasnya, LKP berasa khuatir serta memandang serius perihal sistem kesihatan di Malaysia, khususnya susulan dapatan Laporan Ketua Audit Negara. Di sana terdapat bukti-bukti yang jelas bahawa kita perlu bermuhasabah serta mencari punca sebenar mengapa dan bagaimana semua ini terjadi. LKP menyeru semua pihak agar mengelakkan penyelesaian bersifat kosmetik mahupun retorik, sebaliknya hendaklah terus menjurus kepada penyelesaian yang konkrit lagi terancang. Perancangan dan pengurusan sumber manusia yang efisyen adalah sangat penting. Kurangkan karenah birokrasi, dan permudahkan penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada seluruh lapisan rakyat Malaysia.

DR. MOHD MAZRI YAHYA
Pengerusi Lajnah Kesihatan PAS Pusat
23 Julai 2019 – HARAKAHDAILY 23/7/2019