PAS tolak dasar PPSMI

KENYATAAN Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengenai pengenalan semula dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) telah menimbulkan perdebatan dalam kalangan para ilmuan bahasa, sebilangan besar pendidik serta pejuang bahasa yang cintakan bahasa ibunda.

Advertisement

Meskipun  Perdana Menteri menggunakan terma ‘sistem baharu teknologi maklumat’, namun pencinta bahasa tidak dapat membendung kegusaran mereka mengenai kesan langsung ke atas para pelajar seperti penurunan tahap  penguasaan mata pelajaran matematik dan sains, hilang minat belajar serta wujud jurang besar di antara pelajar bandar dan luar bandar.

Sejak awal pengenalan PPSMI, PAS mengambil pendirian menolak dasar berkenaan, tetapi tidak bermaksud mengenepikan pembelajaran Bahasa Inggeris. Perkara penting yang perlu diberi perhatian oleh pihak berkenaan ialah bagaimana mewujudkan suasana minat belajar serta penggunaan kaedah yang sesuai bagi menerapkan kefahaman mendalam ke atas subjek matematik dan sains.

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak perlu mengulangi kesilapan dengan mengemukakan semula dasar PPSMI yang telahpun dimansuhkan sepenuhnya pada tahun 2012, tetapi hendaklah bekerja keras memperkasakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengajaran dan pembelajaran matematik sains dalam bidang pendidikan.

Hal ini dapat dilaksanakan menerusi pengujudan satu sekretariat penterjemahan bahasa atau perkataan sains dan matematik di peringkat nasional untuk melicinkan proses penterjemahan.

Kedua, mengumpul tenaga pakar bahasa sains setiap bidang seperti sains kejuruteraan, kesihatan, biologi, fizik dan lain-lain bagi mendapatkan input penterjemahan yang tepat tentang maksud satu-satu perkataan menerusi penglibatan Dewan Bahasa dan Pustaka.

Ketiga, memperteguh keilmuan bahasa ke atas guru-guru berkenaan serta pendedahan teknik pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik secara holistik.

Keempat, memupuk minat belajar matematik dan sains dalam kalangan pelajar dengan mempelbagaikan kaedah pengajaran secara formal di dalam kelas, mahupun penglibatan pelajar di luar kelas seperti kegiatan kelab kokurikulum berasaskan subjek.

Justeru itu, pengenalan semula dasar PPSMI sebenarnya menunjukkan kegagalan kerajaan PH memperkenalkan produk baru dalam bidang pendidikan.

Hakikatnya pengenalan dasar ini adalah bertentangan dengan dasar bahasa kebangsaan yang menjadikan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan kebangsaan. – HARAKAHDAILY 23/7/2019

Penulis ialah Timbalan Pengerusi 2, Lajnah Pendidikan PAS Pusat.