Pelajar PASTI tentukan masa depan Malaysia

SANDAKAN: Pelajar PASTI merupakan antara penentu yang akan mencorak pentadbiran negara kerana mereka bakal menjadi pengundi seawal usia 18 tahun dalam tempoh beberapa tahun lagi.
 
Demikian dinyatakan Ketua Muslimat PAS Negeri Sabah, Norsah Bongsu di hadapan ribuan warga PASTI pada Temasya Sukaneka PASTI Kawasan Sandakan Kali Ke-30, Kompleks Sukan Sandakan, di sini kelmarin.
 
Beliau mengulas mengenai Dewan Rakyat yang meluluskan RUU (Pindaan) 2019, Fasal 1 Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan untuk menurunkan umur warganegara yang layak mengundi daripada 21 kepada 18 tahun.
 
“Justeru itu, anak-anak yang berada di hadapan kita ini yang akan menentukan masa depan negara yang kita sayangi ini dalam tempoh 12 tahun hingga 14 tahun akan datang.
 
“Saya bukan berhasrat untuk merayu mereka mengundi PAS pada masa itu, tetapi biarlah anak-anak ini ada kesedaran tentang pentingnya suara orang Islam di dalam Parlimen,” tambahnya.
 
Katanya lagi, menjadi tanggungjawab kepada ibu bapa memberikan pendidikan awal yang betul kepada kanak-kanak ini agar mampu menempuhi situasi tersebut dengan pertimbangan yang benar. – HARAKAHDAILY 23/7/2019
Advertisement