Campur tangan politik lulus Wan Ji kuliah di masjid?

KUALA LUMPUR: PAS Negeri Melaka menyifatkan Adun Durian Tunggal, Dato’ Mohd Sofi Abdul Wahab bersikap provokatif dan tidak akomodatif dalam isu membabitkan pendakwah kontroversi, Wan Ji Wan Husin.

Advertisement

Sofi enggan bertolak ansur, sebaliknya meneruskan kuliah oleh Wan Ji walaupun mendapat bantahan pelbagai pihak dalam insiden di Masjid Ar-Rahman, Parit Melana, Alor Gajah kelmarin dahulu.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Melaka, Ustaz Wan Zahidi Wan Ismail berkata, Sofi selaku wakil rakyat sepatutnya lebih peka dengan sensitiviti masyarakat yang menyatakan ketidaksetujuan ceramah itu diadakan.

Sofi yang juga Timbalan Pengerusi MAIM bukan sahaja tidak mahu berunding secara baik, malah dengan bahasa provokatif telah mengarahkan pihak polis mengambil tindakan terhadap bantahan tersebut.

Lebih dikesali mereka, kerajaan negeri juga bersikap ‘double standard’ terhadap ceramah Syamsul Debat di Masjid Tanah dan Alor Gajah hingga berlaku pemecatan Pengerusi MPKK di Dun Gadek.

Menurut Ustaz Wan Zahidi, PAS Melaka tidak setuju dengan insiden yang berlaku dalam masjid, tetapu mendukung bantahan NGO UMMAH dengan sokongan anak-anak kariah termasuk parti politik.

Malah katanya, latar belakang penceramah itu juga perlu dilihat yang telah dijatuhi hukuman di bawah Akta Hasutan berkait penghinaan kepada Sultan dan Raja-raja Melayu serta Rasulullah S.A.W.

Oleh itu katanya, sikap tersebut yang menimbulkan kebencian dan prejudis tidak sesuai untuk diberi ruang dan tempat bagi berceramah atau menyampaikan kuliah agama di dalam masjid.

Beliau turut mempersoalkan surat kebenaran ceramah yang hanya dikeluarkan pada 19 Julai lalu oleh Timbalan Mufti di mana syarat menetapkan sebulan permohonan dan kelulusan oleh Mufti.

Ustaz Zahidi juga membangkitkan pertanyaan lain yang melihat tindakan Sofi sebagai campur tangan politik atau peranan tangan ghaib hingga penceramah kontroversi itu boleh masuk berceramah. – HARAKAHDAILY 24/7/2019

IMG 20190724 WA0016