Final Piala FA: Pemuda PAS Kedah sedia skrin gergasi

DEWAN Pemuda PAS Negeri Kedah mengambil inisiatif menyediakan kepada rakyat Kedah yang tidak berpeluang ke Stadium Bukit Jalil, Sabtu ini, merasai kehangatan saingan akhir Piala FA antara Kedah dan Perak melalui tayangan skrin gergasi.

Advertisement

Tayangan tersebut akan ditempatkan di lokasi-lokasi utama kesemua 15 kawasan Parlimen di Kedah.

Inisiatif ini juga diambil sebagai tanda sokongan padu kepada Skuad Helang Merah agar mereka yakin seluruh rakyat Kedah memberikan sokongan besar walaupun tidak dapat bersama semasa di Stadium Bukit Jalil nanti.

Sungai Petani akan menjadi lokasi utama diikuti kawasan-kawasan lain dan ia akan dikelolakan secara bersama oleh PAS dan Dewan Pemuda PAS kawasan masing-masing serta serta Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR).

Sebagai penyokong dan peminat Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), besar harapan agar Kedah mengulangi kejayaan merangkul juara dan mengulangi kejayaan yang pernah ditempa pada masa yang lalu.

Justeru itu seluruh Pemuda PAS Kedah mendoakan semoga Skuad Helang Merah akan terus beraksi cemerlang dan merangkul kejuaraan dalam pertandingan akhir Piala FA ini dengan pelbagai sumber kekuatan yang dimiliki tanpa melupakan bahawa kemenangan adalah anugerah daripada Allah s.w.t.

“Demi Islam”
“Islam Memimpin Perpaduan”
“Pulun Kedah Pulun”

USTAZ NURUL AMIN HAMID
Ketua Dewan Pemuda PAS Kedah – HARAKAHDAILY 24/7/2019