Hina Nabi: PAS buat tiga laporan polis di Bayan Baru

BAYAN BARU: Dewan Pemuda PAS Negeri Pulau Pinang mengetuai tiga laporan polis yang dibuat bersama PAS Kawasan Bayan Baru dan Pemuda PAS Bayan Baru di Balai Polis Bayan Baru, di sini semalam.
 
Laporan tersebut berikutan perbuatan biadab serta menggugat sensitiviti kaum dan agama oleh pemilik Facebook Wendy Loong yang memuat naik karikatur menghina Allah dan Nabi Muhammad S.A.W.
 
Laporan tersebut telah dikemukakan Naib Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang, Mohd Farhan Yusri dan Yang DiPertua PAS Bayan Baru, Iszuree Ibrahim serta wakil Pemuda PAS Bayan Baru, Mohd Tarmizi Mat Isa.
 
Mohd Farhan berkata, laporan ini merupakan kali kedua dalam tahun ini selepas kali pertama kes seumpama pada Februari lepas yang sekali gus menunjukkan perbuatan sensitif itu masih sewenangnya dilakukan.
 
“Meskipun individu yang mengirim gambar menyentuh sensitiviti ini ditangkap ketika itu, namun tindakan membebaskannya dengan jaminan polis tidak menakutkan pelaku lain.
 
“Bahkan, unit khas yang diuar-uar ditubuhkan di bawah JAKIM untuk memantau isu-isu sebegini juga dilihat gagal membendung masalah ini dari berulang.
 
“Keharmonian dan perpaduan negara tidak mampu dibina sekiranya isu seperti ini tidak diselesaikan secara serius oleh pemimpin negara,” ujarnya.
 
Laporan polis ini dibuat bersama kehadiran ramai ahli-ahli PAS yang turut berhimpun di balai polis tersebut sejak jam 8:30 malam dan selesai sekitar jam 10 malam. – HARAKAHDAILY 24/7/2019
Advertisement