Hina Nabi: Pemuda PAS S’gor ketuai laporan polis

SHAH ALAM: Pemuda PAS Negeri Selangor telah membuat laporan polis terhadap kebiadaban Wendy Loong yang menghina Nabi Muhammad S.A.W menerusi karikatur disiarkan di media sosialnya baru-baru ini. 
 
Laporan polis tersebut dipimpin Ketua Pemuda PAS Selangor, Ustaz Hanafi Zulkapli yang diiringi sekitar 100 penyokong dalam kalangan ahli PAS, NGO dan orang awam termasuk Umno di Balai Polis Polis Seksyen 6, di sini tengahari tadi.
 
Himpunan bantahan dan laporan polis ini menjadi isyarat bahawa umat Islam atas kecintaan kepada Baginda S.A.W sama sekali tidak reda terhadap sebarang penghinaan yang dilakukan. 
 
Ustaz Hanafi menegaskan, pihak yang melakukan kebiadaban ini mesti dikenakan hukuman tegas agar menjadi pengajaran kepada semua agar tidak melakukan sesuatu yang boleh mengundang sensitiviti umat Islam. 
 
Malah katanya, isu seumpama ini sebenarnya terlalu serius kerana secara tidak langsung kesannya akan merosakkan perpaduan pelbagai kaum yang sepatutnya hidup secara harmoni dan saling hormat menghormati. 
 
Turut bersama dalam himpunan bantahan tadi ialah Ketua Muslimat PAS Selangor, Ustaz Wan Hasrina Wan Hassan serta rakan-rakan dari Umno antaranya Ketua Pemuda Umno, Rizam Ismail dan Ketua Wanita Umno Selangor, Datuk Rosni Sohar. – HARAKAHDAILY 24/7/2019
IMG 20190724 WA0045
Advertisement