Prestasi PAS bersendiri, mampukah PAN sebegini?

SEBELUM Pilihan Raya Umum 2018 (PRU 2018)  tersebar satu analisa yang meramalkan PAS akan kalah teruk dalam PRU 2018 kerana memilih untuk bersendirian. Mereka membentangkan fakta keputusan pilihanraya umum sejak tahun 1959 yang menunjukkan bahawa prestasi PAS sangat baik hanya jika PAS di dalam gabungan dengan parti lain. 
 
PRU 2018 sudah setahun berlalu dan keputusannya sudah pun kita maklumi. Adakah benar dakwaan bahawa PAS hanya boleh mendapat keputusan yang baik hanya jika PAS berada dalam gabungan? Adakah keputusan yang kita perolehi dalam PRU14 adalah satu keputusan yang buruk?
 
PAS pernah bersama dalam beberapa pakatan parti politik iaitu Barisan Nasional (BN), Angkatan Perpaduan Ummah (APU), Barisan Alternatif (BA) dan Pakatan Rakyat (PR). PAS berada dalam beberapa pakatan ini dalam tujuh PRU iaitu tahun 1974 (BN), 1990 (APU), 1995 (APU), 1999 (BA), 2004 (BA), 2008 (PR) dan 2013 (PR). Selain dari itu dalam tujuh lagi PRU PAS bersendirian.
 
Penulis memilih untuk mengambil kira PRU 2008 hingga PRU 2018 sebagai skop analisa ini. Ini adalah kerana ketiga-tiga PRU ini adalah PRU gemilang bagi pembangkang kepada kerajaan lama Barisan Nasional ketika itu. Malah ia boleh dikatakan sebagai zaman paling gemilang kepada pakatan pembangkang sejak merdeka lagi. 
 
PRU 2008 untuk kali pertamanya pembangkang pada waktu itu menawan lima negeri. Pada PRU 2013 pula keputusan pembangkang agak merosot tetapi masih kuat dengan mengekalkan penguasaan di tiga negeri. Sementara pada PRU 2018 pula PH yang sebelum ini pembangkang menumpaskan kerajaan BN. Kerana itu penulis menggunakan ketiga-ketiga pilihanraya umum ini untuk menganalisa kedudukan sebenar prestasi PAS apabila bersendirian dalam PRU 2018.
 
Kita mulakan dengan membandingkan kerusi parlimen yang berjaya dimenangi PAS. Kerusi Parlimen PAS susut kepada 18 kerusi pada PRU 2018 ketika bersendirian berbanding 21 kerusi pada PRU 2013 dan 23 kerusi pada PRU 2008 ketika PAS bersama PR. Memang ada penyusutan tetapi angkanya tidak banyak iaitu hilang lima kerusi berbanding PRU 2008 dan hilang tiga kerusi berbanding PRU 2013. Pada penulis ia bukan menunjukkan kemerosotan yang ketara.
 
Sementara kerusi DUN PAS pula meningkat dari 83 kerusi pada PRU 2008 kepada 85 kerusi pada PRU 2013 ketika PAS bersama PR. Dan ketika PAS bersendirian pada PRU 2018 kerusi DUN PAS meningkat lagi kepada 90 kerusi. Jadi di mana teruknya?
 
Dalam PRU 2018 inilah PAS berjaya menawan dua negeri iaitu Kelantan dan Terengganu secara bersendirian. Lebih manis lagi dengan kemenangan majoriti dua pertiga. Ini ditambah lagi dengan prestasi baik PAS Kedah yang hampir menawan Kedah dengan memenangi 15 dari 36 kerusi DUN Kedah. Hanya empat kerusi sahaja lagi untuk membentuk kerajaan.
 
Sekarang kita lihat pula bilangan negeri yang mampu menyumbangkan kerusi kepada PAS  samada parlimen atau DUN untuk menunjukan bahawa kemampuan PAS melebarkan pengaruh dan tidak hanya tertumpu di negeri-negeri tertentu sahaja.
 
Semasa PAS bersama dengan PR, PAS memiliki kerusi di sepuluh negeri pada PRU 2008 dan 2013. Pada PRU 2018 PAS mempunyai kerusi di sembilan negeri termasuk satu kerusi di setiap satu negeri kubu kuat PH iaitu Pulau Pinang, Selangor dan Johor. Sedangkan PH sendiri tidak mendapat walau satu kerusi DUN pun di Kelantan dan Terengganu. Dengan mempunyai kerusi di sembilan negeri ketika bersendirian pada PRU 2018 berbanding sepuluh negeri ketika bersama PR dalam PRU 2008 dan 2013 sukar untuk kita labelkan prestasi PAS pada PRU 2018 sebagai buruk. Ia hanya penurunan sebuah negeri sahaja.
 
Perang psikologi yang cukup kuat dimainkan oleh PH seolah-olah PAS akan hilang Kelantan dan akan mendapat keputusan paling corot dalam sejarah sebenarnya cukup membimbangkan. Penulis tidak mungkin dapat melupakan rasa cukup berdebar-debar pada malam keputusan pilihanraya umum lalu dan tidak sanggup mendengar jika benar berita PAS akan kehilangan Kelantan. Pada masa itu penulis meramalkan jika Kelantan menang pun mungkin secara majoriti mudah.
 
Tetapi seperti yang kita semua tahu Kelantan menang besar. Kemenangan besar PAS di Kelantan sahaja sebenarnya sudah cukup mengaibkan mereka yang meramalkan PAS akan mendapat kosong kerusi dan bakal tumbang di Kelantan. Belum lagi kita tambah dengan kemenangan besar PAS di Terengganu. 
 
Jika kita mengambilkira situasi PAS yang tercalar teruk dengan fitnah yang ditaburkan musuh dan gelombang rakyat yang memihak kepada Pakatan Harapan secara membuta tuli pada PRU 2018, maka kita boleh katakan bahawa keputusan PRU 2018  adalah keputusan terbaik dan mengejutkan yang PAS mampu perolehi sepanjang PRU dari selepas merdeka. 
 
Prestasi PAS tidak teruk. Mungkin sesetengah dari kita berasakan yang ia satu keputusan yang teruk sebenarnya di sebabkan bekas rakan kita yang selama ini sama-sama menjadi pembangkang kini telah menjadi kerajaan persekutuan. Itu saja. Umpama kita dapat menyambung pengajian di dalam negara. Sebenarnya sudah cukup bagus dapat menyambung pengajian. Tapi bila seorang rakan kita dapat menyambung pengajian tetapi di luar negara menyebabkan kita rasa rendah diri. 
 
Amatilah saranan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang ketika menyampaikan ucapan dasar semasa muktamar PAS Pusat yang lepas iaitu “Jangan kamu berasa hina dengan perjuangan Islam. Mesti rasa bangga, walaupun tak tak boleh menang setelah lama berjuang”.  
 
Yang kita bincangkan tadi ialah tentang pencapaian PAS secara bersendirian. Cuba kita tanya pada PAN, apakah yang mungkin mereka mampu capai jika bersendirian? – HARAKAHDAILY 25/7/2019
Advertisement