Hina Nabi: Pemuda PAS Perak ketuai bantahan

IPOH: Ketua dan Timbalan Ketua Pemuda PAS Negeri Perak, Ustaz Ahmad Faisal Mohd Puait dan Ustaz Hafez Sabri memimpin laporan polis terhadap Wendy Loong di Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh, di sini semalam.

Advertisement

Ia berikutan penama dengan menggunakan akaun Facebook telah menyiarkan satu karikatur melampau dan biadab yang jelas menghina Allah S.W.T dan Nabi Muhammad S.A.W dalam laman Facebook Kiub Batu Itu Berhala.

Ustaz Ahmad Faisal berkata, pihaknya percaya bahawa ini adalah gambaran dan kenyataan yang dikeluarkan oleh Wendy merupakan satu penghinaan yang bermaksud merendahkan kedudukan agama Islam.

“Tindakan yang dibuat oleh Wendy Loong tersebut telah benar-benar mengguris hati seluruh umat Islam khususnya di Malaysia dan penghinaan terhadap Allah dan Nabi ini adalah satu kebiadaban bukannya kebebasan bersuara,” bidasnya.

Sementara itu, tegas beliau lagi, satu siasatan segera mesti dijalankan oleh pihak berkuasa sehingga suspek dibawa ke muka pengadilan dan tiada campur tangan dari mana-mana pihak yang ingin mencari kepentingan.

Ustaz Hafez Sabri pula berkata, sebuah negara menginginkan keharmonian di mana sepatutnya mempunyai sikap hormat-menghormati antara satu sama lain, bukannya menimbulkan sentimen yang boleh membawa kepada kebencian.

Tindakan biadab Wendy Loong merupakan satu kesalahan jenayah di bawah seksyen 298A dan 505(c)  kanun keseksaan dan seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

Sementara itu di KUALA  KANGSAR, Naib Ketua Pemuda PAS Perak, Ustaz Mohd Zahid Abu Bakar menyifatkan perbuatan itu sebagai tindakan provokatif yang bakal mengundang perbalahan kaum lebih-lebih lagi ia merupakan kejadian berulang.

“Kita mengharapkan tindakan susulan yang sewajarnya diberikan kepada beliau kerana perbuatan ini adalah suatu perbuatan provokasi yang boleh mengundang pertelingkahan sesama kaum.

“Saya ingat ini dah kali ketiga perbuatan seumpama ini. Menghina Rasulullah, menghina agama Islam,” ujar beliau selepas selesai membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Kangsar, di sini petang semalam.

Setiausaha Pemuda PAS Perak, Mohamad Helmi Affindi Ali pula berkata, jika tidak dibendung dan diambil tindakan, akan berlakunya suatu budaya saling menghina antara agama di mana akan menyebabkan krisis dan pergaduhan.

Laporan polis yang dipimpin oleh oleh Dewan Pemuda PAS Perak itu dibuat serentak di tiga lokasi selain turut disertai Pemuda PAS Kawasan Padang Rengas, Kuala Kangsar, Sungai Siput, Parit, Lenggong, Gerik.

Manakala di BERUAS, himpunan solidariti masyarakat dipimpin PAS Kawasan dan Pemuda PAS Beruas serta Front Pembela Ummah yang diadakan di Masjid Sungai Batu, di sini selepas solat Jumaat, semalam.

Ketua Front Pembela Ummah, Ustaz Muhammad Nazmi Muhammad Yusuf berkata, Rasulullah wajib dipertahankan walaupun hingga ke titisan darah terakhir dan turut menggesa pelaku segera dikenakan hukuman.

Mantan Ketua Ulamak PAS Perak, Ustaz Sidek Mohd Noor turut berucap menyatakan kekesalannya kerana masyarakat bukan Islam yang hidup bersama telah bersikap menghina Nabi umat Islam. – HARAKAHDAILY 27/7/2019

IMG 20190727 WA0004

IMG 20190727 WA0019