Hina Nabi: Perlu tindakan di bawah Akta Hasutan

TAIPING: Kerajaan hari ini didesak mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang menghina Islam dan Nabi Muhammad S.A.W khususnya menerusi media sosial.
 
Pesuruhjaya PAS Negeri Perak, Razman Zakaria berkata, perbuatan menghina institusi Islam dan Nabi Muhammad S.A.W adalah satu perkara yang amat melampau dan tidak boleh diterima.
 
“Perkara itu (menghina Islam) tidak sepatutnya dilakukan oleh rakyat negara ini yang mengamalkan keharmonian kaum.
 
“Kita mahukan agama di dalam negara terus dihormati dan ini bukan kali pertama penghinaan terhadap Islam dan Nabi melalui media sosial berlaku,” katanya selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Taiping, di sini semalam.
 
Laporan polis itu dibuat susulan muat naik di laman sosial Facebook yang menggunakan nama Wendy Loong di mana dalam paparannya menghina Allah dan Nabi Muhammad S.A.W. 
 
Tegas beliau, laporan polis ini bertujuan agar pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan tegas terhadap individu terbabit tanpa mengira latar belakang menggunakan Akta Hasutan atau undang-undang negara yang termaktub.
 
Mengulas lanjut, Razman berkata, sekiranya tindakan tegas secara berterusan tidak diambil oleh pihak kerajaan, beliau bimbang penghinaan terhadap Islam atau Nabi akan berlarutan.
 
Hadir sama Yang DiPertua PAS Kawasan Taiping, Ustaz Saidin Md Hasnam dan Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Perak, Abd Qahar Syams. 
 
Laporan polis anjuran Dewan Pemuda PAS Perak itu dibuat serentak di tiga lokasi berlainan  seluruh negeri Perak melibatkan Dewan Pemuda PAS Kawasan Bukit Gantang, Beruas, Bagan Serai, Parit Buntar, Taiping  dan Larut. – HARAKAHDAILY 27/7/2019
IMG 20190727 WA0055
 
 
Advertisement