Gelombang muafakat Muslimat-Wanita Gombak

GOMBAK: Muslimat PAS Kawasan Gombak telah mengadakan Gotong-Royong Muafakat bersama Wanita Umno Bahagian Gombak melibatkan kira-kira 100 peserta di Greenwood, di sini pagi semalam.
 
Terdahulu, program ini telah diputuskan dalam Meja Bulat Jawatankuasa Wanita Penyatuan Ummah Parlimen Gombak yang bersidang pada 20 Julai lalu. 
 
Peserta gotong-royong yang diselaraskan oleh Halwa JPrD dan Wanita Umno Dun ini adalah ahli Muslimat PAS dan Wanita Umno dari seluruh Parlimen Gombak, khususnya dari DUN Gombak Setia. 
 
Menerusi program ini, peserta dapat merapatkan ukhuwwah bagi merealisasikan penyatuan ummah dalam rangka mewujudkan gelombang kerjasama PAS dan Umno di Dun Gombak Setia menuju PRU15. 
 
Sempena program ini turut dilakukan tinjauan dan soal selidik ringkas persepsi masyarakat berkenaan jalinan kerjasama antara PAS dan Umno yang rata-ratanya memberi respon positif.
 
Program ini turut dihadiri Ketua Muslimat PAS Gombak, Dr Mardhiyah Hayati Salleh, dan Ketua Wanita Umno Gombak, Roszilah Zainudin dengan pelbagai aktiviti seperti cabutan bertuah dan senaman.
 
Gotong-royong kemudiannya dilaksanakan secara ‘plogging’ yakni berjalan sambil mengutip sampah ringan dan akhirnya menuju ke Pasar Pagi Ahad Greenwood untuk menyantuni masyarakat awam.
 
Dr Mardhiah berkata, kerjasama ini selaras firman Allah iaitu Allah menyukai mereka yang berjuang untuk agama Islam, dalam barisan tersusun rapi dan tuntutan untuk tolong-menolong dalam kebaikan dan takwa.
 
Ketua Wanita Umno, Roszilah Zainudin pula berkata, kerjasama ini sudah lama diidamkan bersama, dengan mengambil kira titik persamaan antara Umno dan PAS selain menjauhi perbezaan dan sejarah lampau. – HARAKAHDAILY 29/7/2019
IMG 20190729 WA0006
 
IMG 20190729 WA0004
 
IMG 20190729 WA0005
Advertisement