Kebiadaban hina Nabi makin terasa

KLUANG: PAS kawasan Kluang telah membuat laporan polis terhadap kebiadaban seorang pengguna Facebook yang menggunakan nama Wendy Loong yang telah menghina Nabi Muhamad SAW.

Advertisement

Perbuatan itu telah mengguris hati dan perasaan seluruh umat Islam kerana sewenang-wenangnya menghina Nabi Muhammad SAW, sedangkan Islam tidak pernah mempertikaikan agama lain.

Yang Dipertua PAS kawasan Kluang, Khairul Faizi Ahmad Kamil ketika ditemui berkata isu penghinaan terhadap Nabi Muhammad bukannya perkara baharu tetapi sesuatu yang sering diulang-ulang seolah-olah seperti ada satu perancangan yang diatur untuk mencabar kesucian agama Islam dan Nabi Muhamad SAW.

“Kebiadaban ini semakin terasa apabila semakin kerap ‘posting’ penghinaan terhadap Islam, Rasulullah SAW malah terhadap institusi Raja dikesan dalam media sosial.

“Jika ia tidak dibendung, saya bimbang umat Islam di Malaysia akan bertindak sendiri terhadap si pelaku seperti di dalam isu ini,” katanya.

Laporan polis telah dibuat di IPD Kluang, semalam oleh Timbalan Yang Dipertua PAS Kawaan Kluang Mohd Nor Mohamad yang turut diiringi oleh Norain Sakib (Ketua Penerangan), Zainal Abidin Ariffin dan Mohd Baharin Shahabuddin (AJK Umno Bahagian Kluang) serta pimpinan Pemuda dan Muslimat PAS kawasan. – HARAKAHDAILY 28/7/2019