Lagi laporan polis Muslimat PAS, Wanita Umno

KULIM: Kebiadaban pemilik akaun Facebook, Wendy Loong menghina Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW di laman sosialnya menimbulkan kemarahan umat Islam seluruh Malaysia.

Advertisement

Petang tadi, Dewan Muslimat PAS Kawasan Padang Serai dan Pergerakan Wanita Umno bahagian berkenaan, bersama-sama mengadakan laporan polis membantah perlakuan tidak bermoral itu di Ibu Pejabat Polis (IPD) Kulim.

Ketua Dewan Muslimat terbabit, Dato’ Ustazah Siti Ashah Ghazali berkata, kebiadaban seumpama itu tidak wajar dibiarkan di mana ia bukan sahaja menimbulkan kemarahan umat Islam malah menggugat keharmonian kaum yang dikecapi di negara ini sejak sekian lama.

Selain itu, beliau juga melahirkan rasa kebimbangan memandangkan sejak kebelakangan ini kejadian seumpama itu semakin berani dan berleluasa.

“Saya mengharapkan agar pihak berwajib segera mengambil tindakan tegas terhadap insiden seumpama ini agar ia tidak berulang dan menjadi iktibar kepada yang lainnya,” tegasnya.

Beliau yang juga Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Kedah mengharapkan kerajaan di bawah pimpinan Blok Pakatan Harapan mengambil serius akan insiden sebegitu untuk menjaga keharmonian kaum.

“Umat Islam tidak akan berdiam diri andainya agama dan Nabinya dihina atau dipersendakan, oleh itu kerajaan mesti memandang serius akan perkara ini dapat dibendung dan tidak berulang lagi,” kata beliau lagi. – HARAKAHDAILY 28/7/2019