The Lion King

PADA 25 tahun dahulu, Disney telah menerbitkan sebuah filem animasi berkenaan kehidupan kerajaan rimba yang sangat menyentuh hati. Filem yang diberi nama ‘The Lion King’ itu telah mencapai ‘box office’, menggembirakan pasukan produksi filem ini. Tanpa disangka, cerita lakonan kartun-kartun itu menjadi tontonan berulang-ulang bagi sesetengah peminatnya. Saya pada mulanya hanya mencebik bibir kerana memikirkan apalah yang ada dengan filem animasi itu. Tetapi setelah menontonnya, ia menjadikan hati terikat.
 
Seperti ada sesuatu yang sangat menarik jiwa ini menontonnya berkali-kali, tanpa jemu. Walau sudah mengetahui jalan ceritanya, ianya bukan penghalang. Dan minggu lepas, Disney telah memfilemkan semula ‘The Lion King’. Kali ini, bukan lagi teknik animasi digunakan, tetapi Computer Generated Imagery (CGI) yang mana dakwa mereka, tiada seekor pun binatang sebenar digunakan dalam filem terbaharu ini. Filem ini pastinya sangat mengujakan dengan teknik yang sangat menarik, binatang menjadi hidup dan bercakap.
 
Saya ketika itu kebetulannya dalam penerbangan pulang ke Qatar, berharap dapat menontonnya secara percuma di dalam masa penerbangan, malangnya, ia masih belum disiarkan dalam wayang Qatar Airways. Arrgghh, melepas pula peluang nak menonton percuma. Biasalah Melayu PAS dan Umno kan, selalu nak percuma dan subsidi. Bukan macam Melayu PH, semua dia sanggup bayar lebih, tak mahu percuma, walaupun dah diberi percuma sebelum ini.
 
Kisah ‘The  Lion  King’ ini bermula dengan kelahiran Simba anak jantan King Mufasa, raja singa di sebuah dataran savanah. Simba telah dinobatkan menjadi putera raja dan yang akan menduduki takhta kerajaan rimba itu apabila Mufasa mati. Sedang dalam masa yang sama, Scar timbalan kepada raja, saudara kepada Mufasa, sedang menunggu peluang untuk menjadi raja. Tetapi dia nyata kecewa dengan kelahiran Simba.
 
Scar mempunyai hasad yang sangat tinggi kepada keluarga Mufasa, sentiasa mencari helah untuk merampas kuasa sehingga sanggup kepada tahap membunuh saudaranya sendiri. Menggunakan Simba sebagai umpan, Scar berjaya menghumban Mufasa yang cuba menyelamatkan Simba, jatuh ke dalam kawanan besar gnu yang sedang berlari kerana dihambat dengan sengaja oleh dubuk, rakan yang sebenarnya musuh Scar. Matilah Mufasa. Simba yang melihat kejadian itu, kemudiannya dihalau oleh Scar keluar dari savanah itu. Scar kemudiannya mengisytiharkan dirinya menjadi raja menggantikan Mufasa dan Simba.
 
Simba yang sangat sedih, kecewa, tertekan akhirnya diselamatkan oleh babi hutan, Pumba dan musang meerkat bernama Timon. Keduanya berjaya memujuk Simba untuk meneruskan kehidupan tanpa mengetahui siapa Simba sebenarnya. Kemudian masa berlalu, pada suatu masa, Simba telah bergaduh dengan seekor singa betina Nala yang cuba memakan Pumba. Tetapi segera mereka menyedari bahawa mereka adalah dari keluarga yang sama. 
 
Nala yang sememangnya dari kecil menyukai Simba, menceritakan segala-galanya yang berlaku selepas Scar merampas kuasa dengan cara yang kotor, kerajaan jadi hancur kerana Scar yang tidak tahu menjaga rakyat, hanya bersuka-suka sahaja dan rakyat terpaksa keluar jauh dari kawasan untuk mencari makanan.
 
Simba dipujuk untuk kembali mengambil takhta dengan bantuan Nala, Pumba dan Timon. Tetapi Simba sudah berputus asa kerana mengenangkan kematian ayahnya, adalah kerana disebabkan kedegilannya mematuhi arahan ayahnya. Dengan susah payah Nala memujuk Simba. Ia kemudiannya dibantu pula oleh Rafiki iaitu ketua upacara kerajaan Mufasa dahulu, dengan memberikan semangat dalaman, membayangkan bahawa kembalinya Simba ialah untuk membela maruah Mufasa yang telah diragut oleh Scar bersama rakan jahatnya, sekumpulan dubuk. Akhir kisah, Simba berjaya diyakini, menang dan kembali sebagai raja. Lalu rakyatnya hidup aman dan damai.
 
Mengambil iktibar dari kisah filem ini, saya mencari sudut positif untuk digunakan sebagai sandaran kepada tulisan saya ini. Ya, saya dapati ianya sangat menepati dengan apa yang berlaku sekarang, realiti dalam kehidupan kita ini, mengenai kekuasaan. Ia berkenaan, kegilaan dalam memerintah, merebut kuasa, menjadi boneka kepada musuh yang sangat nyata mendendami kita, tetapi berpura-pura sayang hanya kerana sabar menunggu peluang yang besar datang sedikit masa lagi dan menang cara menipu.
 
Apakah kaitan yang saya maksudkan dalam tulisan ini? Simba ialah lambang rakyat Malaysia yang telah ditipu, dibuli, dikhianati oleh PH yang saya samakan dengan watak Scar dan watak dubuk iaitu DAP. Dubuk menguasai Scar, walaupun dia kelihatan seperti raja. DAP yang menguasai PH, walaupun kelihatan Bersatu yang memegang tampuk kuasa. Semua orang tahu, walaupun mereka tidak mengaku. Betul bukan?
 
Nala bagi saya ialah Umno yang sedang memujuk Simba iaitu rakyat Malaysia untuk kembali menjatuhkan PH yang menipu itu. Semestinya Rafiki yang memberikan semangat melalui ilmu kerohanian ialah PAS, agar Simba percaya kepada kuasa tuhan yang menguatkannya. Dan sememangnya PAS begitu, mengajak manusia kembali kepada Allah. Manakala MCA sangat sesuai ibaratkan sebagai Pumba dan Timon sebagai MIC, rakan berlainan bangsa Simba, berusaha keras membantu Nala dan Rafiki dalam menguatkan semangat Simba.
 
Dalam satu adegan, Scar telah mengajak Simba ke satu lembah. Dakwa Scar, Simba akan digelar singa dan bukan lagi anak singa jika berjaya mengaum melepasi sempadan lembah itu. Maka mengaumlah Simba dengan penuh semangat dan harapan untuk menjadi seekor singa yang garang, kerana percayakan janji Scar, tetapi hampa. Sebenarnya itu adalah tipu daya Scar supaya suara Simba itu didengari oleh kawanan dubuk yang menunggu Simba masuk perangkap mereka. Dubuk datang dan mahu membunuh Simba.
 
Tidakkah adegan ini sama dengan janji PH yang dahulu mendakwa konon suara rakyat suara keramat. Rakyat akan didahulukan bagi mencapai Malaysia Baharu. Maka bertempiklah rakyat melaungkan slogan suara rakyat suara keramat yang akhirnya suara itu kembali membunuh rakyat itu sendiri. Laungan pendidikan percuma hanya kembali menjadi hinaan kepada rakyat, malah ditambah dengan keperitan membayar.
 
Teriakan harga minyak, tol kononnya mahu diturunkan, akhirnya menjadi gema di celah-celah bukit bukau yang hanya tinggal gema, kemudian semakin perlahan dan hilang. Jeritan harga barang murah, hanya tinggal kenangan bodoh, kekal dalam album kedunguan rakyat hasil mempercayai janji-janji PH. Dan suara pekikan rakyat yang mengamuk dahulu itu didengari dan menggembirakan DAP kerana mereka tahu, ada orang Melayu Islam yang telah masuk perangkap mereka. Samakan dengan adegan itu?
 
Kini tugas PAS, Umno, MCA dan MIC memastikan semangat Simba dalam jiwa rakyat, dibangkitkan kembali untuk melawan kezaliman PH yang semakin hari semakin kacau dengan pelbagai isu. Pada ketika ini, ramai rakyat menjadi seperti Simba selepas kematian Mufasa. Mereka tidak mempercayai diri mereka sendiri, kecewa dengan kesilapan undian PRU mereka dahulu, menyesali kerana mempercayai fitnah kepada PAS dan BN dan merasa tiada peluang. 
 
Sehingga ada yang sudah tidak mahu berpolitik lantaran terlalu kecewa. Jangan biarkan mereka semua, kita mesti bantu mereka menentang PH. Zazu yang sering membawa berita kepada Mufasa, saya letakkan sama watak sebagai media yang mesti menjelaskan betapa PH ini tidak layak memerintah.
 
Rakyat Malaysia adalah Simba yang bersemangat. Dia perlu melawan PH kerana tanpa melawan mereka, PH akan terus merosakkan negara ini. Lihatlah sendiri, dengan kes-kes seksual orang mereka, kes-kes mahkamah terhadap PAS dan Umno yang dahulunya mereka dakwa konon mempunyai bukti yang kukuh, menipu di dalam Parlimen, terlepas dari pendakwaan, gagal dalam memberikan prestasi terbaik sebagai jemaah Menteri, isu pencemaran sungai, isu ekonomi, hutang, kerakyatan negara lain dan banyak lagi. Rakyat mesti diberikan harapan terbesar bagi menewaskan PH.
 
Berbalik kepada cerita The Lion King, setelah Simba bangkit dan menewaskan Scar, Scar kemudiannya pergi meminta bantuan kepada dubuk yang dianggap sebagai kawannya, tetapi tidak pernah dirasakan begitu oleh dubuk-dubuk itu. Scar akhirnya mati di tangan dubuk-dubuk itu. Kita hanya menunggu saat ini, apabila rakyat benar-benar bangkit, pastinya PH akan kalah dan berpaling mengharap simpati dari DAP. 
 
Dan ketika itulah mereka akan menyedari bahawa mereka hanya menjadi bahan buangan, dihina oleh DAP sebagaimana yang pernah DAP lakukan dahulu terhadap rakan politik mereka, tidak pernah mereka menganggap musuh mereka sebagai kawan, cuma berhelah. Dan paling celaka, dubuk-dubuk itu sedang membawa masuk kawanan dubuk dari lembah lain ke lembah kita ini. Bila dubuk semakin ramai, apakah ada lagi belas kasihan kepada kita?
 
Oh, tidak lupa juga babak di mana Scar bersikap kurang ajar kepada Mufasa, sudahlah tidak menghadiri acara pertabalan Simba dan kemudiannya menghadapkan punggungnya kepada raja singa itu ketika berjalan. PH juga bersikap kurang ajar kepada raja kita, bahkan kepada Nabi dan Tuhan pun, kan? Tepat sekali analogi The Lion King ini.
 
Akhir filem, ditunjukkan seluruh lembah savanah itu kembali menghijau, rezeki bertambah kerana Simba memerintah dengan baik dan adil. Rakyat akan menikmati “Hakuna Matata” iaitu tiada kebimbangan lagi dalam diri mereka. Ini memang betul, jika pemerintah adil dan mengikut suruhan Allah, negeri itu akan dibukakan pintu keberkatan. Orang kafir Amerika pun tahu ada keberkatan bila pemimpin baik, takkan lah kita yang Islam ni tak tahu?
 
‘The Lion King’ terbitan Disney, sedang rancak ditayangkan di pawagam-pawagam seluruh dunia, tetapi ‘The Lion King’ versi politik tanah air, insya-Allah akan berakhir tidak lama lagi dengan termeterainya persefahaman dan kerjasama antara PAS dan Umno dalam menghadapi PH ini. Pasti nanti, kedua-dua PAS dan Umno akan mengaum, menerkam tangkas bagi membantu rakyat menghapuskan PH yang kini sedang cedera parah kesakitan dengan punca yang mereka sendiri cipta.
 
MOHD NASIR ABDULLAH
Al-Khor, Qatar
28 Julai 2019 – HARAKAHDAILY 29/7/2019
Advertisement