Ulamak Sabah lapor polis tuduhan dan hina Islam

KOTA  KINABALU: Dewan Ulamak PAS Negeri Sabah membuat laporan polis terhadap Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berikutan kenyataannya yang dianggap boleh mencetuskan salah faham dan menjejaskan tahap keharmonian dalam kalangan rakyat.
 
Ketua Dewan Ulamak PAS Negeri Sabah, Ustaz Babbar Abas berkata, Madius memuat naik kenyataan yang mendakwa seorang pemimpin Kerajaan Negeri Sabah pada 38 tahun lalu mengadakan upacara pengislaman beramai-ramai secara paksa di Tambunan.
 
Dalam masa yang sama, laporan polis juga dibuat terhadap satu akaun Facebook yang menggunakan nama Wendy Loong kerana memuat naik gambar berunsur penghinaan terhadap Nabi Muhammad S.A.W dan sengaja mencetuskan provokasi kepada umat Islam. 
 
Kedua-dua laporan polis ini dibuat beliau dengan diiringi beberapa anggota dan Jawatankuasa PAS di Ibu Pejabat Daerah Karamunsing, di sini hari ini.
 
Beliau berkata, laporan dibuat itu supaya Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat perkara tersebut memandangkan ia menggugat sensitiviti dan keharmonian kaum serta umat Islam di negara ini.
 
“Kami menuntut agar pihak PDRM mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap individu berkenaan dengan memberikan hukuman yang setimpal atas kesalahan yang dilakukan.
 
“Dengan tindakan ini dapat memberi pengajaran dan peringatan kepada mana-mana individu di Malaysia supaya lebih berwaspada dalam membuat sebarang kenyataan dalam media sosial.
 
“Dewan Ulamak PAS Negeri Sabah amat bertegas dalam isu ini dan akan terus istiqamah dalam mempertahankan kedaulatan agama Islam di Malaysia demi menjaga kesucian Islam dan keharmonian kaum di negara ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 28/7/2019
Advertisement