Piagam PAS-Umno tidak sentuh bahagi kerusi

KUALA LUMPUR: PAS dan Umno menafikan wujudnya perbincangan mengenai persetujuan pembahagian kerusi antara kedua-dua parti dalam Piagam PAS dan Umno.

Advertisement

Setiausaha Agung PAS, Dato’ Takiyuddin Hassan dalam satu kenyataan bersama Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Annuar Musa berkata Piagam PAS dan Umno yang telah diluluskan tidak langsung menyentuh isu pembahagian kerusi.

“Piagam Umno-PAS yang telah diluluskan oleh Jawatankuasa Perunding kedua-dua parti langsung tidak menyentuh soal pembahagian kerusi. Sebaliknya dipersetujui Umno dan PAS mempunyai mekanisma tersendiri mengenai perkara ini,” kata Takiyuddin dan Annuar dalam satu kenyataan bersama, hari ini.

Tegas kedua-dua pihak, dakwaan kononnya piagam PAS-Umno turut memuatkan persetujuan pembahagian kerusi antara kedua-dua parti dengan nisbah tertentu seperti yang dilaporkan portal Malaysiakini pada 29 Julai lalu adalah tidak benar sama sekali.

Pihaknya menggesa semua pihak berhenti mengadakan spekulasi liar tentang Piagam PAS-Umno sehingga tiba hari pelancarannya pada 14 September ini.

Pada 29 Julai lalu Malaysiakini telah mengeluarkan sebuah laporan  bertajuk “Umno sedia serah kerusi tradisi kepada PAS” dengan menekankan kedua-dua pihak telah bersetuju membahagikan kerusi mengikut nisbah tertentu seperti yang dipersetujui di dalam Piagam PAS-Umno.

Difahamkan laporan Malaysiakini turut memetik sumber dari individu yang tidak dinamakan malah mendakwa mendapat maklumat daripada pemimpin kanan Umno. – HARAKAHDAILY 30/7/2019