Percanggahan Menteri Kewangan isu ambil alih tol

PADA 25 Februari 2019, YAB Perdana Menteri dilaporkan berkata: “Kerajaan mungkin berdepan dengan masalah untuk melaksanakan pembangunan lain sekiranya pemansuhan tol dilakukan tanpa kajian terperinci. Dengan kewangan negara yang tidak menentu ketika ini, adalah mustahil untuk perkara itu dilaksanakan dalam tempoh terdekat.”

Advertisement

syahir2Tambah Tun Dr Mahathir: “Kerajaan perlu beli lebuh raya dengan duit cukai yang dikutip daripada rakyat dan dalam masa yang sama jalan yang rosak juga harus dibaiki. Jika pemansuhan tol dilakukan tanpa kajian menyeluruh. Kerajaan akan mengalami kekurangan wang untuk lakukan pembangunan untuk projek-projek lain.”

Namun pada 21 Jun 2019, YB Menteri Kewangan telah mengeluarkan kenyataan: “Kerajaan telah mengemukakan tawaran rasmi untuk mengambil alih empat lebuh raya bertol di Lembah Klang, iaitu Lebuhraya Damansara Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (SPRINT), Lebuhraya Shah Alam (KESAS) dan Terowong SMART.”

Tambah Guan Eng: “Tawaran pengambilalihan tersebut berjumlah RM6.2 bilion dan dibuat kepada Gamuda Berhad selaku syarikat pemegang konsesi empat lebuh raya tersebut. Jumlah berkenaan akan dibiayai melalui penerbitan bon yang akan dilakukan kerajaan dalam masa terdekat.”

Terbaharu YAB Perdana Menteri berkata: “Kabinet belum membuat keputusan muktamad berhubung pengambilalihan konsesi tol empat lebuh raya Gamuda Berhad.”

Timbul persoalan bagaimana percanggahan ini boleh berlaku, dan ini bukanlah kali pertama rakyat dan pelabur ‘terkeliru’ dengan kenyataan Menteri Kewangan.

Turut dipersoalkan adalah mekanisma pengambil-alihan konsesi tersebut, khususnya terhadap harga tawaran kepada Gamuda berjumlah RM6.2 bilion yang agak tinggi berbanding nilai bersih semasa, kos tambahan yang terpaksa ditanggung operator, dan caj sebenar yang akan ditanggung oleh pengguna.

Malah beberapa NGO telah menimbulkan persoalan berhubung tawaran harga yang tinggi ini, dan dikaitkan dengan pembiayaan projek ‘Penang Transport Master Plan’ (PTMP) dan ‘South Reclamation Scheme’ (SRS), di mana Gamuda adalah pemegang saham terbesar dalam Konsortium SRS, iaitu pemaju atau rakan pelaksana projek (PDP) yang dilantik kerajaan negeri Pulau Pinang.

Ternyata jawatan Menteri Kewangan ini tersangat penting kepada negara dan kerajaan.

Melihat kepada percanggahan ini, adalah baik sekiranya dicari seorang tokoh teknokrat bagi memegang jawatan terpenting ini, supaya kewangan kerajaan dapat diurus dengan lebih baik dan profesional.

SYAHIR SULAIMAN
Penganalisis Ekonomi
31 Julai 2019 – HARAKAHDAILY 31/7/2019

Sumber:

https://www.pmo.gov.my/ms/2019/07/kabinet-belum-buat-keputusan-ambil-alih-lebuh-raya-gamuda/
http://www.astroawani.com/berita-malaysia/kerajaan-tawar-gamuda-rm6-2-bilion-untuk-ambil-alih-empat-lebuh-raya-bertol-210748
https://www.sinarharian.com.my/article/14915/BERITA/Nasional/Kerajaan-belum-mampu-mansuhkan-tol-Tun-M
https://www.utusan.com.my/bisnes/ekonomi/perjelas-spekulasi-beli-mahal-untuk-projek-tambak-pulau-pinang-mtem-1.929820
https://gamuda.com.my/our-expertise/engineering-construction/penang-transport-master-plan/